Penang Ramadhan Suoq kembali!

GEORGE TOWN – Penang Ramadhan Suoq 2013, acara tahunan yang menawarkan pelbagai variasi makanan dan kelengkapan menjelang Aidilfitri kembali lagi dengan 36 peniaga dan peruncit mengambil bahagian tahun ini.

Bertemakan ‘Ramadhan Dihayati, Ekonomi Diberkati’, penganjuran Penang Ramadhan Suoq 2013 ini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang juga merupakan penganjur Penang Ramadhan Suoq dalam ucapannya berkata bahawa acara tersebut merupakan suatu penjenamaan untuk Pulau Pinang.

“Selain memberi ruang dan peluang kepada peniaga dan peruncit untuk berniaga, kita (Kerajaan Negeri) juga memberi peluang kepada pengguna kuasa untuk membuat pilihan.

“Di sini (Penang Ramadhan Suoq 2013) pelbagai jenis pakaian, barang-barang isi rumah, hiasan dan perabot turut dijual pada harga yang berpatutan,” ucapnya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Penang Ramadhan Suoq 2013 di Komtar baru-baru ini.

Hadir bersama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Datuk Salleh Man (Yang diPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan Datuk Abdul Rahim Isahak (Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Penang Ramadhan Suoq 2013 yang dirasmikan oleh Yang diPertua Negeri T.Y.T. Tun Abdul Rahman Abbas beroperasi sepanjang Ramadhan bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di Aras 3, Komtar.