Penang Run 2013/2014 lengkap kelilingi pulau

Oleh: WA TAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Penganjuran acara marathon, Penang Run akan diteruskan bagi sesi 2014/2015 ekoran kejayaan berlangsungnya acara tersebut bagi tahun 2013/2014 di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti sukarelawan, logistik dan lain-lain, Kerajaan Negeri bertekad menamatkan kejohanan yang meliputi empat peringkat atau laluan tersebut.

“Malah, kami (Kerajaan Negeri) bakal meneruskan penganjuran bagi tahun ini dan tahun depan (2015),’’ katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Para Pemenang Penang Run 2013/2014 di sini baru-baru ini.

Penganjuran Penang Run 2013/2014 adalah bermula pada Mei tahun lalu (2013) merangkumi empat laluan masing-masing sepanjang 21 kilometer (km).

Malah, acara berkenaan begitu unik apabila setiap peserta diwajibkan melengkapkan empat bahagian medal yang diperoleh pada setiap laluan sebelum diumumkan sebagai pemenang.

Menurut Chong Eng, bagi keseluruhan acara, enam pemenang dipilih iaitu Calvin Boon Chang Yik bagi Kategori Lelaki dengan catatan masa lima jam 19 minit dan 19 saat.

Kategori Lelaki Veteran (K. Baskaran, lima jam 39 minit dan tujuh saat).

“Ng Sun Nee mengungguli Kategori Veteran Wanita dengan catatan masa enam jam 50 minit dan 11 saat, Kategori Wanita Terbuka
(Ooi Yuu Mei, tujuh jam 33 minit dan 10 saat).

“Dua peserta antarabangsa, Tim Stelzer dan Ailyn Maglipon Arjona masing-masing menjuarai Kategori Lelaki dan Wanita Antarabangsa,’’ jelas beliau.