City Walk 1.1.14 capai sasaran penyertaan

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mencipta sejarah tersendiri apabila panganjuran City Walk 1.1.14 yang berlangsung pada hari pertama tahun baru mencapai sasaran dengan lebih 7,000 penyertaan secara keseluruhannya.

Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail berkata, program tersebut adalah sebagai galakkan amalan gaya hidup sihat seiring slogan yang dilaunglaungkan Kerajaan Negeri iaitu, Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Ini adalah permulaan tahun baru yang sihat dengan amalan gaya hidup sihat.

Ianya adalah permulaan yang baik untuk tahun baru ini.

“Dalam masa sama, program ini dirancang bagi meningkat dan mengeratkan ikatan kekeluargaan serta masyarakat setempat yang berbilang kaum dan agama,” ujarnya pada penganjuran tahun kedua City Walk 1.1.14 di Lebuh Pantai baru-baru ini di sini.

Hadir sama memeriahkan majlis Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Keluarga dengan disertai kanak-kanak, ibu bapa dan warga tua tidak ketinggalan berjalan dan berhibur beramai-ramai di laluan sepanjang 5 kilometer melalui keunikan kawasan landskap Tapak Warisan Dunia George Town.