Penang Sentral agak lengang, perkhidmatan bas dan feri beroperasi seperti biasa

BAGAN DALAM – Keadaan di Penang Sentral kelihatan sedikit lengang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu mulai 9 November lalu.

Bagaimanapun, tinjauan Buletin Mutiara mendapati semua perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti Rapid Penang, Feri Pulau Pinang, teksi dan bas ekspres masih berjalan seperti biasa dalam tempoh PKPB.

Yusnor Himan.

Seorang kakitangan bahagian Bus Control Centre (BCC) Rapid Penang, Yusnor Himan ketika ditemui memberitahu bahawa semua laluan bas henti-henti Rapid Penang beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pengguna perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan sebelum menaiki bas seperti memakai pelitup muka, mengimbas aplikasi MySejahtera ketika hendak masuk ke ruang menunggu dan sebelum menaiki bas serta menggunakan pensanitasi tangan.

“Bagi golongan yang berusia kita tidak galakkan menaiki bas (Rapid Penang) kerana kumpulan ini lebih berisiko tetapi sekiranya mereka tetap mahu gunakan perkhidmatan ini, kita akan ingatkan mereka untuk mematuhi SOP dengan lebih ketat,” jelasnya.

Katanya lagi, jumlah pengguna perkhidmatan pengangkutan di Penang Sentral semakin berkurang sejak pelaksanaan PKPB berbanding semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebelum ini.

“Pada masa ini, mereka yang masih menggunakan perkhidmatan bas Rapid Penang adalah dalam kalangan pekerja yang mempunyai surat pengesahan daripada majikan.

Laluan kenderaan ke terminal feri yang biasanya sibuk pada waktu puncak dilihat agak lengang.

 

“Bagi pengguna yang mahu menaiki bas merentas sempadan negeri pula seperti ke Parit Buntar atau Sungai Petani mereka perlu mengemukakan surat majikan atau surat kebenaran daripada pihak polis.

“Sekiranya gagal mengemukakan bukti perjalanan yang jelas pihak kami tidak akan membenarkan mereka menaiki bas,” ulasnya lagi.

Yusnor berkata, bagi memastikan keselamatan para pengguna pihak Rapid Penang hanya menyediakan satu pintu masuk dan satu pintu keluar selain mengehadkan jumlah penumpang dalam sebuah bas pada waktu puncak.

“Kedudukan dalam bas mesti mengekalkan penjarakan fizikal satu meter dan pengguna dinasihati untuk tidak berbual antara satu sama lain sepanjang berada di dalam bas.

“Selain itu, pihak kami juga akan melakukan pembersihan dan sanitasi bas setiap kali bas memasuki kawasan depot bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin,” ujarnya lagi.

Kaunter tiket Feri Pulau Pinang kelihatan agak lengang.

Dalam pada itu, memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata bahawa jumlah penumpang perkhidmatan Feri Pulau Pinang juga menunjukkan penurunan sejak pelaksanaan PKPB.

“Walaupun jumlah penumpang berkurangan berbanding sebelum ini namun mereka dinasihati untuk mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan tinjauan ke Penang Sentral baru-baru ini.

Selain perkhidmatan pengangkutan awam, semua premis perniagaan di Penang Sentral dilihat dibuka seperti biasa meskipun jumlah pengunjung agak berkurangan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS