Tinjauan : Pekan lama Sungai Bakap jadi tumpuan penduduk lokal menjelang Deepavali

SEORANG pengunjung sedang menunggu giliran untuk membeli belah di sebuah butik pakaian dan aksesori perayaan popular dekat tengah-tengah pekan lama Sungai Bakap memandangkan ada amalan menghadkan bilangan orang di dalam premis pada satu-satu masa di sini, sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

BEBERAPA lot kedai yang menjual busana raya, aksesori terpilih dan kelengkapan rumah serta barang-barang berkaitan upacara ritual agama Hindu di Pekan Lama Sungai Bakap pada tengah hari ini seakan menerima lebih ramai pengunjung berbanding hari-hari kebiasaan.

 

Mungkin kerana rata-rata pengunjung sedang membuat persiapan saat akhir sebelum sambutan Deepavali pada esok, 14 November 2020.

 

P. Subramaniam

Seorang pengunjung yang ditemui di sini, P. Subramaniam, 56, memberitahu bahawa ini adalah kali pertama dalam tempoh beberapa tahun beliau meraikan Deepavali secara sederhana sahaja di rumah dekat Taman Sri Aman, di sini.

 

“Selalunya saya sekeluarga akan pulang ke kampung di negeri Johor.

 

“Tetapi, oleh kerana sekarang kita dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tidak boleh rentas negeri sesuka hati dan mesti membantu kerajaan memutuskan semua faktor perebakan COVID-19, saya sekeluarga menyambut perayaan di  rumah sahaja (dekat Sungai Bakap).

 

“Persiapan perayaan tahun ini juga agak sederhana, macam saya tidak beli baju raya dan pakai apa yang ada sahaja.

 

“Persiapan raya yang lain untuk keluarga, kita membeli-belah di pekan lama Sungai Bakap sahaja,” jelasnya yang juga seorang peniaga dalam bidang pengangkutan dan logistik kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 13 November 2020.

 

A. Umadevi

Bagi A. Umadevi, 40, pula perayaan Deepavali mesti disambut “dengan apa yang ada” memandangkan esok adalah perayaan penting buat penganut agama Hindu, walaupun dalam tempoh PKPB.

 

“Saya sekeluarga tetap menghiaskan rumah, beli apa yang perlu, dan berbelanja secara sederhana dekat pekan lama Sungai Bakap,” jelasnya sambil menzahirkan perasaan terima kasih kepada semua anggota barisan utama yang terus berjuang demi mengawal COVID-19 pada musim perayaan dan cuti umum esok.

 

Tinggal di taman perumahan dekat Persiaran Beduk, beliau memberitahu bahawa persiapan pada saat akhir dan sehari sebelum perayaan adalah pengalaman biasa terutama buat wanita yang berkerjaya.

 

“Mujur ada anggota keluarga yang lain turut membantu membuat persiapan pada petang ini.

 

“Waktu PKPB ini, semua kita tahu pergerakan masing-masing untuk melintasi daerah agak terbatas, maka, saya sekeluarga membeli-belah di pekan lama Sungai Bakap,” ujarnya lagi.

SUASANA di sebuah pagi kedai menjual bunga malar di tengah-tengah pekan lama Sungai Bakap di sini menjelang tengah hari tadi.

Seorang lagi responden yang mahu dikenali sebagai “Raja” sahaja, berusia sekitar awal 40-an memberitahu Buletin Mutiara bahawa pada tahun ini beliau sendiri membuat persiapan raya dengan membeli-belah secara sederhana di pekan lama Sungai Bakap sahaja.

 

“Sebenarnya tempat membeli-belah untuk penyambut perayaan Deepavali bagi wilayah Utara Semenanjung Malaysia ini, kalau bukan di Little India (dekat George), adalah di kawasan Bagan.

 

“Tetapi, apabila saya mendengar ada banyak sekatan trafik, bimbang terpaksa mengharungi kesesakan trafik, akhirnya saya membawa keluarga membeli-belah di sini sahaja (pekan lama Sungai Bakap).

 

Tinjauan umum mendapati ada kira-kira 10 lot komersial yang menjual barang keperluan berkaitan persiapan hari raya Deepavali.

 

Itu, tidak termasuk kedai-kedai kecil dan khemah jaja yang menjual bunga malar serta makan-makan rangup sempena Deepavali.

 

M. Gopinat

Pun begitu, M. Gopinat, 38, memberitahu bahawa perniagaan makanan rangupnya menjelang perayaan Deepavali adalah masih ‘lemah’.

 

“Saya merupakan pemandu teksi, hasil pendapatan (sebagai pemandu) teksi sudah teruk sebelum negara dilanda COVID-19 lagi (iaitu pada Disember 2019), cuma pandemik COVID-19 yang berlaku ini mempercepat lagi keadaan ekonomi tengah teruk menjadi bertambah teruk.

 

“Akhirnya saya dan isteri mengambil keputusan untuk berniaga makanan-makanan rangup sempena musim perayaan (Deepavali) ini, dengan mengurangkan 50 peratus bekalan makanan untuk dijual berbanding tahun lepas (2019).

 

“Apa yang terjadi, sehingga tengah hari ini, dan esok kita akan raya Deepavali pula, tidak sampai 50 peratus pun terjual di khemah jaja saya ini sekarang,” jelasnya sambil mengharapkan Kerajaan Persekutuan menggandakan lagi program rangsangan ekonomi di Pulau Pinang.

 

Selamat menyambut Hari Deepavali walaupun semua terpaksa mengharungi normal baharu dalam tempoh PKPB, 9 November hingga 6 Disember 2020.