Penang Sentral dijadual buka 31 Disember ini

BAGAN DALAM – Terminal pengangkutan bersepadu bagi utara Semenanjung Malaysia, Penang Sentral di Butterworth akan dibuka pada 31 Disember ini.

Ketika melawat bangunan utama di sini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan rasa gembira apabila projek Persekutuan itu akhirnya bakal dibuka untuk dinikmati rakyat terutama di negeri ini.

“Saya begitu gembira kerana akhirnya Penang Sentral akan dibuka juga, ia menjadi simbol era baru kepada ketersambungan sistem pengangkutan awam secara berpusat (iaitu setakat ini) perkhidmatan bas, feri dan keretapi.

“Kita harap projek pembangunan bersepadu ini akan diteruskan dengan menaik taraf perkhidmatan feri,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media bersempena sesi lawatan kerja berkenaan di sini tadi.

Turut serta, hampir semua Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan terdahulu telah mempunyai cadangan untuk mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) iaitu pejabat-pejabat perkhidmatan kerajaan secara bersepadu untuk rakyat, di bangunan lama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Butterworth.

Justeru, menurutnya, adalah terpulang kepada Kerajaan Persekutuan sama ada kekal dengan cadangan asal ataupun mewujudkan UTC di bangunan pejabat di atas Penang Sentral, kelak.

Difahamkan, Penang Sentral dimajukan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) persekutuan, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), dan kelak akan diurus oleh syarikat subsidiarinya, Penang Sentral Sdn. Bhd..

Kos projek pemajuan MRCB berkaitan adalah kira-kira RM280 juta dengan nilai pembangunan kasar (GDP) sejumlah RM2.8 bilion.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Operasi MRCB, Shareen Iqbal menyatakan bahawa reka bentuk serta sistem perkomputeran bersepadu Penang Sentral adalah termoden dan canggih berbanding sistem pengangkutan bersepadu Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dekat Bandar Tasek Selatan serta KL Sentral, dekat ibu negara Kuala Lumpur.

Di tingkat 1, menurut beliau, terdiri oleh 38 tapak parkir bas; manakala di tingkat 2 pula adalah kaunter tiket bersepadu, lot komersial, kaunter tempahan teksi serta ruang menunggu kereta sewa, serta jejantas yang menghubungkan ke pelabuhan feri dan stesen keretapi Butterworth.

Tambah Shareen, sebanyak 55 lot kedai dan satu astaka makanan turut disediakan pada tingkat 3 hingga tingkat 5.

Ujarnya, Penang Sentral juga menyediakan 577 tapak parkir di tingkat 6 hingga 9, demi menggalakkan pengguna kenderaan peribadi bergerak dengan pengangkutan awam bersepadu, dari sini.

Shareen Iqbal memberitahu, projek Persekutuan tersebut mula dilaksanakan sejak tahun 2007, melalui tempoh penangguhan yang panjang sebelum ini adalah demi isu-isu ketuanpunyaan tanah semata-mata.

Fasa 1 Penang Sentral yang bakal pada 31 Disember ini, sedia menampung kapasiti maksimum kira-kira 5,000 pengunjung sehari.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD