‘Penang Sky Cab’ bukan ganti MRT Pusat – KM

GEORGE TOWN – Projek kereta kabel ‘Penang Sky Cab‘ yang menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar Seberang Jaya sebenarnya adalah produk pelancongan masa depan Kerajaan Negeri dan bukanlah ganti pada janji politik Kerajaan Pusat menjelang pilihan raya umum lepas untuk membina transit laju massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) atau monorel di negeri ini.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri tidak perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu memandangkan sebenarnya adalah di bawah kategori produk pelancongan negeri.

“Selepas menunggu selama beberapa tahun (untuk Kerajaan Persekutuan mula membina MRT), kami (Kerajaan Negeri) akhirnya mengambil keputusan untuk membinanya (Penang Sky Cab) kita (Kerajaan Negeri) sendiri.

“Tentulah ‘Penang Sky Cab‘ ini tidak ada kaitan dengan pengangkutan awam kerana ia hanya akan mengangkat 10 penumpang bagi satu kereta (kabin), dan ini perlu supaya kita boleh mengatasi masalah kesukaran mendapatkan lesen sekiranya ia satu sistem pengangkutan.

“Kalau kita lihat, sistem ini akan dianggap sebagai satu produk pelancongan yang pada masa sama memainkan peranan sebagai satu alternatif bagi pengangkutan awam yang ‘lembut’,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Produk pelancongan ‘Penang Sky Cab’ diumumkan pada April lepas oleh Guan Eng sendiri, selepas dicadangkan Penang Sentral Sdn. Bhd. (PSSB) dengan anggaran kos antara RM250 juta hingga RM300 juta dan dijangka siap pada tahun 2018.

PSSB adalah anak syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang ditubuhkan untuk membangunkan Sentral Pulau Pinang (Penang Sentral), sebuah pembangunan yang mengintegrasikan pembangunan komersial bercampur dengan hab pengangkutan bersepadu yang terbesar di kawasan utara Malaysia.

if (document.currentScript) {