Sumbangan RM3.0 juta diberi bukan oleh Klassik Tropika Development Sdn.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri tidak pernah menerima sumbangan RM3.0 juta daripada Klassik Tropika Development Sdn. Bhd. dan Kerajaan Negeri tidak boleh mengakui sesuatu perkara yang sama sekali tidak benar.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Bahagian Belanjawan Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Hashimah Mohamed Hashim dalam kenyataannya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, sememangnya, sumbangan RM3.0 juta pernah diterima untuk tujuan warisan, tetapi ialah daripada Mah Sing Group Berhad yang diperakaunkan pada September 2011.

Klassik Tropika Development Sdn. Bhd. adalah anak syarikat kepada Mah Sing Group Berhad.

“Sumbangan RM3.0 juta terlibat adalah atas nama Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang supaya mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Sumbangan terlibat masih dalam tabungan akaun Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, yang mana Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait adalah selaku Pegawai Pengawalnya.

“Adalah diharapkan fakta diberikan akan menyelesaikan perkara ini yang tidak sepatutnya menimbulkan sebarang tuduhan tidak berasas yang cuba mencemarkan urusan pentadbiran Jabatan Kewangan Negeri yang telahpun dipuji setiap tahun atas prestasi cemerlangnya oleh Ketua Audit Negara,” ujar Hashimah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang menyatakan bahawa urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah “mati” kerana status sumbangan RM3.0 juta oleh Klassik Tropika Development Sdn. Bhd. kepada Tabung Warisan ekoran tidak wujudnya Tabung Warisan Negeri sepertimana jawapan kepada soalan bertulis dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Menurut Hashimah, Kerajaan Negeri tidak pernah menubuhkan Akaun Amanah Tabung Warisan Negeri, sebaliknya, terdapat Akaun Amanah Jawatankuasa Pusat Warisan yang telah ditubuhkan pada 2003 di bawah Seksyen 9 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] tetapi telah ditutup pada 2013 kerana akaun amanah terlibat tidak aktif dan tidak diperlukan lagi setelah wujudnya pentadbiran George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

“Semasa penutupan, akaun amanah tersebut berbaki RM351.04 yang telah dikreditkan ke Akaun Hasil Negeri, malah memandangkan tidak diwujudkan Tabung Warisan Negeri, maka tidak ada pembayaran sumbangan oleh mana-mana pihak seperti yang dinyatakan adalah juga tidak berbangkit,” jelas beliau.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);