Penang2030 Festival SPT perkasa gaya hidup sihat

Admin
img 20260704 wa0058

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkasa pembangunan masyarakat yang aktif, sihat dan berdaya tahan selaras dengan Visi Penang2030 menerusi pelbagai inisiatif melibatkan pembangunan sukan, pendidikan serta modal insan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usaha tersebut diterjemahkan melalui penyediaan lebih banyak kemudahan rekreasi dan sukan di seluruh negeri bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut beliau, sehingga kini sembilan daripada sasaran 10 fasiliti sukan dan rekreasi baharu yang ditetapkan menjelang tahun 2030 telah berjaya direalisasikan.

“Lebih 170,000 rakyat Pulau Pinang telah mengambil bahagian dalam pelbagai program sukan dan rekreasi yang dianjurkan di seluruh negeri, manakala hampir 300 program seni dan budaya berasaskan komuniti turut dilaksanakan.

“Usaha ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh semangat perpaduan serta kesejahteraan sosial dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Penang2030 Festival SPT X Sihat Berpanjangan, Rezeki Berterusan di Politeknik Seberang Perai dekat sini sebentar tadi.

img 20260704 wa0062img 20260704 wa0066img 20260704 wa0063

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Pegawai Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat; Pengarah Politeknik Seberang Perai, Mohd. Ruzi Hamzah; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menegaskan bahawa Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pendidikan tinggi dengan menyediakan platform kepada hampir 50 institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk universiti, politeknik, kolej universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasa pusat belia selain meneruskan pelbagai bentuk bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar cemerlang.

Mengulas mengenai festival tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa penganjurannya menghimpunkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa lebih 40 syarikat mengambil bahagian bagi menyokong pembangunan ekonomi setempat selain memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada orang ramai.

“Festival ini turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah yang membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, selain pelbagai pertandingan dan sukan rakyat yang mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk perpaduan serta menghidupkan semula warisan permainan tradisional.

“Tahniah juga diucapkan kepada lebih 800 peserta Coffee Run & Chill yang telah memulakan hari ini dengan penuh semangat, disiplin dan komitmen terhadap gaya hidup sihat.

“Penyertaan yang begitu menggalakkan membuktikan bahawa masyarakat kini semakin sedar bahawa kesihatan merupakan asas kepada kesejahteraan diri, keluarga serta negeri.

“Inilah semangat sebenar Penang2030 iaitu membangunkan sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah melahirkan masyarakat yang sihat, berilmu, inklusif dan sejahtera.

“Saya berharap festival seperti ini akan terus menjadi platform yang menyatukan masyarakat, memperkukuh budaya hidup sihat serta menggalakkan penyertaan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi,” ujarnya.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan festival tersebut sebelum menyempurnakan perasmian Penang2030 Festival SPT X Sihat Berpanjangan, Rezeki Berterusan.

“Tidak lupa juga kepada Politeknik Seberang Perai yang sudi menjadi tuan rumah bagi penganjuran festival ini,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Haizal berkata bahawa penganjuran Penang2030 Festival SPT menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri begitu komited dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa diberikan keutamaan.

“Kerajaan Negeri juga menitikberatkan kesaksamaan pendapatan dengan membawakan karnival kerjaya yang menampilkan 34 majikan berhubung penawaran pekerjaan pada festival kali ini.

“Selain itu, kita juga memberikan peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka sama ada berupa barangan atau makanan, sekali gus membantu mengambangkan lagi perniagaan masing-masing,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, lebih 12 acara dipersembahkan sempena festival tersebut termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, derma darah, sukan rakyat, klinik pergigian, jualan makanan dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : ADLEENA RAHAYU ADMAD RADZI

img 20260704 wa0067img 20260704 wa0069img 20260704 wa0056img 20260704 wa0057img 20260704 wa0051