‘Penangjaya’ nama baru bandar satelit Batu Kawan belum dimuktamadkan lagi

 

BUKIT TAMBUN – Waktu Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang dahulu, pernah ada cadangan untuk menjenamakan Bandar Cassia Batu Kawan serta kawasan perindustrian di sekitar koridor pembangunan berfasa itu sebagai ‘Penangjaya’, tetapi sehingga kini belum dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Demikian kata Pengurus Besar Perbandanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Rosli Jaafar dalam Taklimat Tertutup Mengenai Perancangan Fizikal dan Pembangunan Tanah PDC di seluruh negeri, kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan beberapa lagi pegawai kerajaan.

Selepas taklimat tertutup itu, PDC membawa rombongan kerja Kon Yeow melawat tapak pemajuan industri, kawasan perumahan awam, lot komersial, projek landskap, kawasan peranginan pantai dan lain-lain. 

Rosli menjelaskan satu persatu perancangan fizikal dan pembangunan tanah milik PDC di seluruh negeri ini, terutama di bandar satelit Batu Kawan, yang dianggap mercu tanda pembangunan masa depan Pulau Pinang. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN