Pencapaian 100 tahun bukti keutuhan SK Wellesley – Raja Perlis

lst 7493

GEORGE TOWN – Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, berkenan mencemar duli merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley sebentar tadi.

Ketika bertitah, Baginda memberitahu bahawa pencapaian usia 100 tahun menandakan satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah, jasa dan pengorbanan.

“Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keutuhan institusi pendidikan ini, tetapi juga mencerminkan kegigihan warga pendidik, murid, alumni, dan ibu bapa dalam memartabatkan ilmu, akhlak, serta budi pekerti anak bangsa sepanjang satu abad.

lst 7245

“Sepanjang 100 tahun kewujudannya, SK Wellesley telah menjadi saksi kepada pelbagai transformasi dalam dunia pendidikan negara, dari bilik darjah yang sederhana pada awal penubuhannya hingga ke kemudahan moden hari ini, sekolah ini telah menyalurkan ilmu pengetahuan, membentuk sahsiah, dan menanam nilai tanggungjawab dalam diri setiap generasi.

lst 7493

“Saya masih mengingati detik awal saya menjejakkan kaki ke bumi Wellesley pada awal tahun 1950-an, menuntut ilmu di Tahun 1 dan Tahun 2, suasana sekolah pada ketika itu penuh disiplin, sarat dengan kasih sayang para guru yang sentiasa membimbing dengan sabar, membentuk asas keperibadian saya dan jati diri Beta hingga hari ini,” titah Baginda yang juga Alumni Diraja SK Wellesley.

lst 7531

Raja Perempuan Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, turut berangkat menyerikan majlis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengarah Penang Port Sdn. Bhd., merangkap penaja majlis dan alumni, Dato’ Seri Syed Mohamad Syed Murtaza; Guru Besar SK Wellesley, K. Saravanan; kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan dif-dif jemputan lain.

Baginda bertitah, bahawa sambutan 100 Tahun SK Wellesley ini bukan sekadar mengenang sejarah atau nostalgia semata-mata, malah sebagai peringatan tentang tanggungjawab kita bersama untuk memastikan legasi Wellesley terus berkembang, relevan dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Semangat ‘Wellesley 100 Years of Excellence’ bukan sahaja menekankan pencapaian masa lalu, tetapi juga menjadi inspirasi untuk memperkukuh pendidikan masa depan, dengan menekankan kesedaran tentang ilmu pengetahuan, nilai moral dan kepelbagaian budaya yang harmoni.

“Sekolah juga telah melahirkan ramai alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk pentadbiran, pendidikan, perniagaan, sains, teknologi dan seni, masing-masing membawa pengaruh positif dalam pembangunan negara,” titah Baginda lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING