Pencapaian Kerajaan Negeri kini boleh dipantau melalui Dashboard Penang2030

Admin

GEOEGE TOWN – Umum kini boleh memantau pencapaian Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Sistem Pemantauan Dashboard Penang2030 yang dilancarkan secara rasminya hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa ‘Dashboard Penang2030’ merupakan sistem penting untuk memastikan Kerajaan Negeri sentiasa ditadbir dengan hala tuju yang jelas demi mencapai kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Ketua Menteri ketika menyempurnakan gimik pelancaran Sistem Pemantauan Dashboard Penang2030 dekat Komtar di sini sebentar tadi.

“Sistem ini merupakan instrumen tadbir urus awam yang telus dan berupaya memupuk penglibatan orang awam serta menjadi pemantau kepada Kerajaan Negeri ke arah mencapai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Hal ini kerana dashboard berkaitan bakal menunjukkan dengan jelas pencapaian Penang2030 yang diukur sekali gus memberi peluang kepada orang awam untuk menyuarakan pandangan dan kritikan membina demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” ucapnya pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Turut serta, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Nawi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Nor dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli-Ahli Parlimen.

Kon Yeow memberitahu bahawa pembangunan Sistem Pemantauan Dashboard Penang2030 merupakan pelengkap kepada Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun Kerajaan Negeri dan Kad Laporan Pencapaian Manifesto 2018 yang dibentangkan baru-baru ini.

Bersama para pemenang anugerah Geospatial World Innovation .

Menurut beliau, sistem tersebut kini telah dihubungkan dengan laman sesawang Penang2030 dan boleh dilihat secara langsung oleh orang awam.

“Inisiatif ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri bersikap akauntabiliti terhadap tanggungjawab dan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini serta telus dalam menguar-uarkannya,” katanya sambil menambah bahawa ‘Dashboard Penang2030’ kini sememangnya sedia untuk diakses.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa peratusan pencapaian semasa Kerajaan Negeri yang dicatatkan di dalam Dashboard Penang2030 adalah sebanyak 26 peratus.

“Suka saya ingatkan bahawa pencapaian sasaran di bawah Inisiatif Strategik (IS) bagi empat tema utama Visi Penang2030 adalah bersandarkan sehingga tempoh tahun 2030.

“Secara perbandingannya, kadar tersebut juga dilihat sebagai penanda aras yang baik untuk kita terus merealisasikan sasaran-sasaran yang ditetapkan dalam Visi Penang2030,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sementara itu, Ahmad Jailani menyatakan bahawa aplikasi ‘Dashboard Penang2030’ dibangunkan bagi membolehkan orang awam memantau pencapaian Kerajaan Negeri secara langsung.

Anggota Perkhidmatan Awam mendengar amanat yang disampaikan oleh Ketua Menteri.

Selain itu kata beliau, sistem bersebut juga akan memudahkan akses orang ramai bagi melihat pencapaian Penang2030.

“Saya ingin menekankan bahawa penyampaian perkhidmatan terbaik tidak hanya bergantung kepada pembangunan sumber manusia yang berilmu dan cekap tetapi harus juga diikuti dengan penggunaan teknologi selaras dengan perkembangan semasa,” ujarnya lanjut.

Pada 21 Januari 2022, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan Kad Laporan Pencapaian 3 Tahun yang pertama sebagai komitmen untuk mencapai Visi Penang2030.

Difahamkan, penghasilan kad laporan berkenaan adalah bertujuan memastikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berada pada landasan yang betul dan tidak tersasar daripada matlamat ditetapkan.

Kad berbentuk info grafik itu mengandungi maklumat berkaitan jenis-jenis projek yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara tempoh bulan Mei 2018 sehingga September 2021.

Pada majlis itu juga, Kon Yeow menyampaikan anugerah Geospatial World Innovation kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan (PWDC) Pulau Pinang, Ong Bee Leng dan wakil Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Abdul Azhar Ibrahim bagi projek “Connect Towards Future Free from Violence.

Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah yang sama kepada Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Hanisah Hassan dan Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang, Rozita Hamid bagi projek pembangunan aplikasi MyKampung-Connected Communities.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : ALISSALA THIAN