Pendekatan ‘whole-of-society’ intipati penting kejayaan lawan COVID-19

TARIKH 18 Mac 2021, genap setahun sejak Malaysia melancarkan ‘perang’ melawan pandemik COVID-19 yang telah menjerumuskan seluruh dunia ke dalam krisis kesihatan paling dahsyat.

Bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan negara pada 18 Mac 2020, Malaysia kini dilihat masih lagi bertungkus-lumus untuk mencapai keseimbangan di antara keselamatan nyawa dan kelangsungan ekonomi rakyat.

Sebagai negeri pesat membangun dengan kapasiti penduduk yang agak padat, Pulau Pinang turut tidak terkecuali daripada menerima impak ketara akibat penularan pandemik COVID-19.

Walaupun Pulau Pinang pernah diisytiharkan sebagai negeri zon hijau selama 91 hari, namun peningkatan semula jangkitan kes COVID-19 sudah tentu memberikan cabaran baru buat seluruh warga negeri.

Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow untuk melihat sejauh mana usaha serta strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memerangi COVID-19 sekaligus mencapai keseimbangan tersebut.

Pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’

Kon Yeow menyatakan bahawa pandemik COVID-19 sememangnya memberikan cabaran yang luar biasa kepada sistem kesihatan awam memandangkan tidak banyak pihak mempunyai berpengalaman menguruskan situasi tersebut.

“Oleh kerana ia melibatkan isu perubatan awam, maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi tunjang kepada usaha ini dengan penglibatan hampir semua jentera kerajaan.

Chow Kon Yeow menunjukkan poster bagi kempen menggalakkan pendaftaran vaksin COVID-19.

“Sebab itulah kita dengar adanya pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’, kerana dengan menggunakan jentera kerajaan sahaja adalah tidak mencukupi sebaliknya ia memerlukan penglibatan serta kerjasama masyarakat umum,” katanya.

Tambah beliau, semua jentera kerajaan telah menjalinkan kerjasama dalam usaha menangani pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.

“Kita sama-sama belajar kerana ini pengalaman baharu bagi kita semua. Kita buat kesilapan dan kita betulkan kesilapan itu. Kita juga saling memberikan galakan dan teguran selain mencuba beberapa pendekatan baharu.

“Jadi, saya boleh sifatkan pendemik COVID-19 telah menyatupadukan ikhtiar kita semua tidak kira apa jua jabatan. Isu berbezaan lapisan jentera kerajaan tidak menjadi persoalan kerana pendekatan ini memaksa kita untuk bekerjasama sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa peranan rakyat melalui pendekatan ‘whole-of-society’ juga amat penting khususnya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), melaksanakan arahan PKP serta menyesuaikan diri dengan kawalan yang ditetapkan.

“Di samping itu, banyak juga syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk memberikan sumbangan seperti peralatan pelindung diri (PPE), pelitup muka, pensanitasi tangan dan sebangainya.

“Malah, Kerajaan Negeri sendiri telah memperuntukkan RM175.5 juta menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang untuk membantu semua golongan terkesan di negeri ini.

“Dan saya percaya daripada segi ini, Kerajaan Negeri telah tunjukkan semangat kebersamaan dengan rakyat,” ujarnya.

Keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan ekonomi rakyat

Kon Yeow menjelaskan bahawa untuk menguruskan sumber manusia dan aset-aset kerajaan serta swasta dalam menangani pandemik COVID-19 di negeri ini bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Pada hakikatnya, ia adalah satu usaha tentang bagaimana kita dapat menyeimbangkan antara kehidupan atau keselamatan nyawa dan kelangsungan ekonomi rakyat.

“Keseimbangan ini susah untuk dicapai kerana sepanjang setahun ini kita dapati bahawa apabila kita melonggarkan sekatan, jangkitan COVID-19 akan menular ke dalam komuniti dan di tempat kerja.

“Oleh itu, ini cabaran yang amat besar kerana selagi mana kita tidak mencapai kesihatan awam, maka selagi itulah tidak akan ada kesihatan ekonomi,” ulasnya.

Sebagai contoh, beliau berkongsi bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan melonggarkan sekatan pada tahun lepas telah menyebabkan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 sehingga melumpuhkan sistem kesihatan negara.

“Tetapi, setelah langkah-langkah lebih ketat diambil kira-kira dua bulan lalu, kita dapat lihat hasilnya yang mana kes telah menurun setiap hari. Ini menunjukkan bahawa ada hubung kait antara keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi rakyat.

“Apabila tindakan perubatan dikawal ketat, maka ia akan menjejaskan ekonomi rakyat dan negara. Adakalanya rakyat tidak faham mengapa tindakan lebih ketat perlu diambil.

“Selepas setahun, baru kita nampak hubung kait di antara kedua-duanya dan usaha untuk mencapai satu keseimbangan ini adalah cabaran yang amat besar,” tegasnya.

Walau bagaimanapun kata Kon Yeow, langkah kerajaan menaikkan kompaun RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 telah menimbulkan bantahan dalam kalangan rakyat.

“Banyak perbincangan mengenai perkara ini dibangkitkan semasa Persidangan Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19. Persetujuan yang dicapai adalah bahawa ia perlu dikaji semula.

“KKM akan memperhalusi semula SOP ini dan membentangkannya dalam pertemuan MKN COVID-19 akan datang untuk diputuskan.

“Keputusan ini diambil berikutan reaksi masyarakat terhadap dasar yang tidak mengambil kira kemampuan rakyat untuk membayar jumlah denda yang tinggi,” jelasnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan sepatutnya meningkatkan lagi kempen kesedaran masyarakat sebelum melaksanakan polisi tersebut.

“Walaupun tujuan mengenakan denda adalah untuk memastikan rakyat mematuhi SOP dengan ketat tetapi jumlah RM10,000 adalah terlalu tinggi dan rakyat tidak mampu untuk membayarnya,” katanya lagi.

Penemuan vaksin beri harapan baru

Serentak itu, Kon Yeow menegaskan bahawa ekonomi dunia akan lumpuh sekiranya krisis kesihatan awam yang dihadapi oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia dibiarkan berpanjangan.

Justeru kongsi beliau, penemuan vaksin COVID-19 dalam tempoh lebih singkat berbanding jangkaan awal telah memberikan harapan serta sinar baru kepada masyarakat di seluruh dunia.

“Setiap maraton ada penghujungnya. Bagi ‘maraton pandemik COVID-19’ saya tidak tahu bilakah penamatnya tetapi penemuan vaksin telah memberi harapan dan cahaya kepada dunia.

“Pada mulanya, kita dengar bahawa usaha mencari vaksin akan mengambil masa tiga hingga lima tahun. Ini adalah tempoh masa yang amat panjang dan sudah semestinya akan melumpuhkan ekonomi dunia.

“Ini kerana tidak ada syarikat yang boleh bertahan begitu lama. Tidak ada sebuah keluarga atau individu yang hilang atau terkesan daripada segi pendapatan mampu bertahan untuk tempoh ini.

“Jadi, kita amat bersyukur dengan pelbagai usaha yang telah dijalankan di seluruh dunia, vaksin COVID-19 akhirnya berjaya dicari dan sudah pun mula dibekalkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menekankan bahawa penemuan vaksin turut membolehkan negara memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu dan dijangka mengambil masa hampir setahun untuk disempurnakan.

“Sekiranya seluruh masyarakat menjalani program imunisasi ini, maka kita dapat mencapai imuniti kelompok yang akan melindungi kita semua daripada ancaman COVID-19.

“Oleh itu, kita berharap agar program imunisasi ini akan berjaya dalam tempoh paling singkat supaya keadaan dapat dipulihkan kembali sepenuhnya,” kongsi beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

** Akan datang : Projek pembangunan diteruskan