Pendigitalan perkhidmatan negeri, Ketua Menteri sambut baik hasrat kerjasama TM

Admin
KETUA Menteri (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Imri Mokhtar di pejabatnya, Komtar pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Telekom Malaysia (TM) hari ini menyatakan hasrat untuk saling bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi mempercepatkan proses digitalisasi perkhidmatan awam, pertanian, kesihatan dan sebagainya berlandaskan Visi Penang2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar menyatakan hasrat itu semasa mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 4 Oktober 2022.

“Nilai sebenar adalah apabila telah tibanya rangkaian teknologi 5G yang mana (pengkomputeran) awam, ‘big data’, kecerdasan buatan (AI) dan beberapa lagi komponen teknologi baharu.

“Sebelum ini, di sisi pelanggan, kita (TM) adalah pembekal dan kita juga adalah agen perniagaan mereka.

“Tetapi, semua itu kini telah berubah, maka kita (TM) berasa perlukan lebih kerjasama sejajar dengan model perniagaan dan perkhidmatan (Kerajaan Negeri) yang begitu banyak telah berubah (ke arah erah pendigitalan perkhidmatan),” jelasnya dalam pertemuan berkaitan di sini.

Dalam pertemuan hampir sejam berkaitan, Imri turut menjelaskan mengenai perkembangan baharu pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam reaksi balas, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya senantiasa mengalu-alukan kerjasama yang lebih erat dalam projek pembangunan infrastruktur telekomunikasi demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk di Pulau Pinang.

“Saya berpendapat di Pulau Pinang, kita mengalu-alukan rakan kongsi yang boleh memacu usaha pendigitalan dan transformasi perkhidmatan (yang mana) Kerajaan Negeri akan memberi sokongan sepenuhnya kepada usaha-usaha bersama ini,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Ketua Pegawai Operasi TM, Ir. Ts. Azizi A. Hadi; Naib Presiden Kawal Selia dan Perhubungan Negeri TM, Meor Sahril Anuar Ahmad Rathuan; Ketua Kawal Selia dan Perhubungan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Hasrul Nizam Md. Hashim Nordin dan Pengurus Kawal Selia dan Perhubungan, Zuraini Mohammad turut sertai delegasi tersebut.

Turut sertai perbincangan tersebut ialah Exco Kerja Raya dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga dan Jurutera Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Mustaqin Alpi yang juga Ketua Unit Pembangunan Infrastruktur Telekomunikasi Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NYRATIKAH RAHMAT
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD