Pendirian pembubaran DUN Pulau Pinang tertakluk dinamik politik semasa, respons Ketua Menteri

Admin
92aaf977 de50 4995 b3de 347a80c720b9 KETUA Menteri dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 3 Ogos 2026.

GEORGE TOWN — Pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengekalkan pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tamat penggal kini tertakluk kepada dinamik dan pertimbangan politik semasa, terutamanya sekiranya berlaku pembubaran Parlimen di peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa perkembangan landskap politik yang berubah setiap hari menuntut Pihak Berkuasa Negeri menilai semula pelbagai kemungkinan yang ada sebelum sebarang ketetapan rasmi diumumkan.

“Politik berubah hari-hari, maka, kita (Pihak Berkuasa Negeri) perlu menimbang apa juga kemungkinan.

“Apa pun, kita (Pihak Berkuasa Negeri) serahkan kepada pucuk pimpinan Negeri dan Pusat untuk membuat keputusan itu,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada sidang media di Komtar pada 3 Ogos 2026.

Selain itu, Kon Yeow turut memberi respons kepada kenyataan sinikal Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) boleh bersedia untuk mengambil kerusi pembangkang apabila Parlimen dibubarkan nanti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Kon Yeow menyatakan bahawa kenyataan berkaitan adalah berdasarkan kejayaan formula kerjasama antara Barisan Nasional (PN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu lepas semata-mata.

“Dalam PRN Negeri Sembilan khususnya, ia (kerjasama antara BN dan PN) dapat menang kerusi-kerusi yang berkaitan.

“Jadi secara semula jadi, mereka lihat ini satu formula yang boleh diguna pakai dalam pilihan raya negeri lain… atas pertimbangan komposisi etnik dan kaum di negeri-negeri berkaitan, yang akan memberikan kelebihan apabila kerjasama sedemikian ditampilkan untuk mendapat sokongan pengundi-pengundi.

“Jadi, itu terpulanglah kepada strategi masing-masing,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Ditanya lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Negeri menyatakan bahawa gabungan yang terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan mesyuarat, susulan kejayaan BN-PN yang memenangi dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lepas.