GEORGE TOWN — Selepas enam dekad, Pulau Pinang sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 yang akan berlangsung di Bandar Cassia, Batu Kawan dari 29 Ogos hingga 4 September 2026.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, kali terakhir Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi penganjuran julung kali itu adalah pada tahun 1966 di Kem Jubli, Teluk Bahang yang telah menghimpunkan kira-kira 2,500 pengakap.
“Pilihan Pergerakan Pengakap Malaysia ini bukan sahaja mengiktiraf keupayaan Pulau Pinang menganjurkan acara berskala besar, malah mencerminkan keyakinan terhadap komitmen negeri dalam memperkasa pembangunan belia,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi di sini pada 3 Ogos 2026.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zulkifli Kamaruddin dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Dato’ Henry Heng Soo Peng turut sertai sidang media acara serantau tersebut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa tema ‘Menjenak Warisan, Membina Masa Depan’ dengan subtema ‘60 Tahun Menyatukan Semangat Kepengakapan’ melambangkan penganjuran jambori pada kali ini adalah kesinambungan usaha bagi melahirkan generasi muda yang berdisplin, berintegriti dan berdaya saing.
Tambah beliau, penganjuran jambori kali ini dijangka menghimpunkan lebih 5,400 peserta yang mana merangkumi 5,005 peserta tempatan serta antarabangsa (468) dari 11 negara termasuk Sri Lanka, Indonesia, Korea dan Singapura.
Menurut Kon Yeow, dengan penyertaan antarabangsa dalam jambori pada kali ini, ia diharap akan memperkukuh jaringan persahabatan global serta membuka ruang pertukaran budaya dan pengalaman dalam kalangan generasi muda.
Buletin Mutiara dimaklumkan, sepanjang penganjuran selama tujuh hari itu, para peserta bakal mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan kepimpinan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi dan kelestarian seperti Scout Skill Challenge, ikhtiar hidup serta pameran agensi.
Salah satu pengisian utama jambori ini ialah Merdeka Hike, yang bakal diiktiraf oleh Malaysia Book of Records atas penganjuran secara konsisten selama 20 tahun.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD IQBAL HAMDAN
Video : NURATIKAH RAHMAT