Penduduk Changkat nikmati kemudahan jalan lebih selesa – ADUN

Admin

 

JAWI – Penduduk dalam kawasan pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dekat sini, kini menikmati kehidupan lebih selamat serta selesa apabila kerja penurapan jalan-jalan sedia ada hampir siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata, hanya kira-kira lima peratus sahaja lagi jalan yang masih belum diturap dan kini dalam proses untuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Kewangan Negeri.

Katanya lagi, kos bagi kerja-kerja penurapan jalan di kawasan berkaitan melibatkan tiga kampung iaitu Jalan Kampung Changkat, Kampung Bukit Changkat serta Kampung Bagan Buaya adalah sebanyak RM168,907.70 melalui peruntukan ADUN.

Sistem perparitan juga dinaik taraf melalui pembinaan longkang ‘U’.

“Jalan-jalan ini amat penting kerana menjadi laluan utama bagi penduduk khususnya yang tinggal di Kampung Bagan Buaya untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Keledang Jaya.

“Sebelum jalan ini diturap, banyak masalah dihadapi penduduk seperti kemalangan melibatkan motosikal selain menjadi laluan bagi binatang liar seperti babi hutan dan ular berbisa.

“Oleh itu, selepas jalan-jalan ini siap, rata-rata penduduk yang saya temui memberitahu bahawa kini mereka sudah tidak berasa bimbang lagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, seorang penduduk yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa MPKK Changkat, Abdul Karim Mustafa memaklumkan bahawa keadaan di kawasan berkenaan lebih terbela selepas kerajaan Pakatan Harapan menerajui kepimpinan negeri sejak 2008.

“Selain penurapan semula jalan, banyak lagi kemudahan yang dibina di kawasan ini termasuk dewan sepak takraw terbuka, taman permainan kanak-kanak dan penaiktarafan sistem perparitan kepada keadaan yang lebih baik.

“Penduduk di sini amat gembira dan lega dengan keprihatinan Kerajaan Negeri khususnya YB H’ng Mooi Lye yang telah banyak membantu demi keselesaan masyarakat luar bandar khususnya dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN