Penduduk Jalan Perak bakal terima kemudahan pasar awam baru menjelang 2022

Admin

GEORGE TOWN – Penduduk di sekitar Jalan Perak dan kawasan berdekatan bakal menerima kemudahan komplek pasar awam baru menjelang tahun 2022.

 

Pengerusi jawatankuasa pengurusan kewangan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gooi Seong Kin berkata, jawatankuasa tersebut bersetuju untuk memajak tanah konsesi di Lot 969 dekat Jalan Perak selama 99 tahun kepada Ideal Home Properties Dev Sdn. Bhd. dan sebagai balasan, pihak pemaju perlu membina kompleks pasar awam baru.

 

“Kompleks pasar awam baru akan dibina di atas Lot 169, 171, 272, 273, 544, 1897, 2159, 2160 dan 2707, ” katanya pada siding media selepas selesai Mesyuarat Majlis Biasa MBPP dekat Dewan Bandaraya, semalam.

 

Dalam pada itu, pegawai perancangan bandar MBPP, Zulfiqar Badri berkata kompleks pasar awam tiga tingkat tersebut akan dibina di belakang pasar awam sedia ada dekat Jalan Perak.

 

“Kompleks pasar awam baru ini akan dilengkapi dengan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), tempat letak kereta, kawasan penurun dan mengambil penumpang, Plaza Rakyat dan lif dan banyak lagi.

 

“Kami mencadangkan agar pasar awam dekat Jalan Perak yang sedia ada tidak dirobohkan semasa pembinaan kompleks pasar baru.

 

“Pada masa ini, masih terdapat tapak penjaja sementara (TPS) di kawasan itu.

 

“Justeru, tapak itu perlu dibersihkan menjelang tempoh akhir projek untuk memberi laluan kepada pembinaan eskalator dan tangga pasar awam,” katanya, sambil menambah bahawa penjaja TPS yang berdaftar dengan MBPP dan peniaga di Jalan Perak yang terjejas akan dipindahkan ke pasar awam baru selepas siap kelak,” ujarnya lagi.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI.