Penduduk Kg. Cross Street 2 dirai

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

MOHD. Salleh Man (depan, kiri sekali) menyampaikan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak sempena Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Kampung Cross Street 2 di sini baru-baru ini.
MOHD. Salleh Man (depan, kiri sekali) menyampaikan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak sempena Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Kampung Cross Street 2 di sini baru-baru ini.

PERMATANG PASIR – Seramai 120 warga emas dan 250 kanak-kanak diraikan dalam satu majlis sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Cross Street 2 di sini baru-baru ini.

Apa yang unik adalah acara tersebut merupakan sambutan terakhir yang diadakan bersama kira-kira 300 keluarga di kawasan berkenaan berikutan tanah terbabit bakal dibangunkan kelak.

Pengerusi Jiran Wanita, Kawasan Rukun Tetangga Kampung Cross Street 2, Shoong Yoona yang telah 24 tahun menetap di sana menyatakan bahawa para penduduk telah bersepakat untuk menerima pampasan antara RM30,000 hingga RM45,000 daripada pihak pemaju.

“Justeru, kami akan berpindah ke tempat lain. Sambutan ini merupakan yang kali terakhir di Kampung Cross Street 2,’’ katanya pada Majlis Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Kampung Cross Street 2 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir yang hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan berkata, majlis tersebut telah berjaya dianjurkan untuk dua tahun berturut-turut sejak tahun lalu.

Pada majlis tersebut, Mohd. Salleh telah menyampaikan hamper kepada warga emas dan ‘ang pow’ kepada golongan kanak-kanak.

“Saya amat berterima kasih kepada para penduduk kerana walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa, namun segenap penduduk kampung tetap hadir tanda mereka terus yakin dan menyokong kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang,’’ ujar beliau.