Penduduk Padang Tembak diseru jayakan aktiviti gotong-royong bersama WOU

GEORGE TOWN – Program Keep Your Environment Clean & Green Padang Tembak bakal diadakan buat julung kalinya bagi membersihkan persekitaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Hooi Peng pada sidang media sebentar tadi berkata, aktiviti tersebut merupakan hasil kerjasama dengan pasukan Wawasan Open University (WOU).

“Selain objektif utama untuk membersihkan kawasan perumahan PPR ini, kita juga akan memberikan pendidikan awam kepada para penduduk mengenai peri pentingnya menjaga kebersihan.

“Selain itu, Majlis juga akan mengedarkan sticker mengenai larangan plastik sekali guna di sekitar astaka padang tembak,” ujarnya ketika mengadakan sidang media bersama-sama pihak penganjur pagi tadi.

Hadir sama ADUN Kebun Bungah, Jason Ong Khan Lee, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Ketua Pasukan WOU, Lee Yew Mei.

Aktiviti gotong-royong tersebut dijadualkan berlangsung pada 29 September ini bermula jam 8.30 pagi.

Justeru, Hooi Peng menyeru penduduk sekitar untuk bersama-sama bagi menjayakannya.

“Seramai 40 orang pelajar WOU akan turut serta, selebihnya kita berharap penduduk sekitar akan bersama-sama menjayakan gotong-royong ini,” ujar beliau sambil memaklumkan bahawa pihaknya menyasarkan seramai 100 orang akan terlibat menjayakan program berkenaan.

Bagi yang ingin menyertai, sila hubung Yew Mei di talian 012-5888364.