Penubuhan koperasi sekolah mampu didik pelajar tentang keusahawanan

Admin

SEBERANG JAYA – Peranan utama penubuhan koperasi sekolah adalah untuk mendidik pelajar dalam bidang keusahawanan berlandaskan kepada prinsip dan nilai berkoperasi.

Mengulas lanjut, Ahli Jawatankuasa bagi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Keusahawan, Mohd. Tuah Ismail menyarankan agar pihak koperasi sekolah menceburi bidang lebih kompetitif dan tidak hanya tertumpu kepada aktiviti sedia ada seperti menjual buku sebagai usaha untuk melonjakkan pencapaian perolehan yang lebih tinggi.

“Hal ini disebabkan tumpuan perniagaan buku lebih bersifat semusim iaitu perminataan amat menggalakkan hanya pada musim pendaftaran sesi persekolahan di awal tahun sahaja.

“Apabila memasuki suku tahun kedua dan ketiga, permintaan untuk keperluan tersebut akan turun dan mendatar,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Young Entrepreneur For Success (YESS) Peringkat Negeri Pulau Pinang di di sini hari ini.

Turut hadir, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh; Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Asuat Ahmad, barisan panel juri dan guru-guru terlibat.

Mengulas lanjut, Mohd. Tuah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong berkata langkah tersebut adalah tepat sebagai usaha berterusan dalam memastikan koperasi sekolah dapat menjana idea-idea baharu dalam penciptaan produk yang mempunyai nilai tambah dan kompetitif untuk dipasarkan.

“Saranan dan galakan SKM untuk koperasi sekolah melebarkan sayap perniagaan dengan menjalankan aktiviti lain seperti perladangan, penginapan hotel bajet, kontrak pembersihan kawasan sekolah, kedai dobi, kafeteria dan sebagainya disahut dengan pelan tindakan dan pelaksanaan aktiviti yang baik,” jelasnya lagi.

Sempena konvensyen YESS, pertandingan mencipta dan mempromosikan produk oleh koperasi-koperasi sekolah turut diadakan.

Pada pertandingan tersebut, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu pula berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang sebanyak RM3,000 manakala tempat ketiga pula milik Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam (RM1,000).

Kategori lain yang turut dipertandingkan termasuklah kertas kerja terbaik, guru pembimbing terbaik dan inisiatif pembangunan koperasi sekolah.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS