Penduduk Perai perangi denggi

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Catatan 18 kes denggi di sekitar Perai di sini amat membimbangkan sehingga membawa kepada penganjuran Kempen Kemajuan Keselamatan Komuniti dan Kesihatan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Taman Inderawasih di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berkata, walaupun tiada kes kematian dicatatkan di Seberang Perai, statistik kes yang ditunjukkan sepatutnya dapat membuka mata penduduk di sini tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan persekitaran.

“Usaha seperti ini harus diteruskan bagi memastikan kawasan ini boleh menjadi kawasan bebas denggi,” ujarnya pada majlis perasmian kempen di sini baru-baru ini.

Kempen yang turut menyelitkan ceramah mengatasi pembiakan nyamuk denggi, pencegahan jenayah, sketsa kebersihan oleh
JKKK dan pameran Majlis Perbandaran Seberang perai (MPSP) serta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dihadiri kira-kira 100 penduduk sekitar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Dr. Rafidah Mohd. Noor (Pegawai Kesihatan Daerah SPT) dan dua orang Ahli Majlis MPSP, M. Satees dan P. David Marshel.

Dalam pada itu, Ramasamy menyatakan bahawa kebersihan dan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama tanpa terlalu mengharapkan tindakan MPSP sahaja.

“Penduduk seharusnya bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran kediaman masing-masing terlebih dahulu dan perlu peka dengan kesan daripada wabak denggi.

“Inisiatif dijalankan JKKK kawasan ini patut dipuji dan berharap usaha yang dijalankan dapat menjadikan kawasan ini semakin bersih dan sihat untuk didiami,” ujar beliau.