Penerima APC lambang komitmen, disiplin dan profesionalisme warga MBPP – Exco

Admin
832a51b2 edcf 46a4 9fab e0a1e883f467

 

GEORGE TOWN – Seramai 240 warga kerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi prestasi tahun 2025, manakala 60 pesara MBPP turut diraikan pada Majlis Penghargaan Pesara dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2026 sebagai penghargaan atas jasa, komitmen dan sumbangan mereka kepada pembangunan serta kecemerlangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, majlis tersebut merupakan platform penting bagi menghargai warga kerja yang telah melaksanakan amanah dengan penuh integriti, dedikasi dan profesionalisme.

“Kehadiran saya pada hari ini merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap komitmen serta budaya kerja cemerlang warga pihak berkuasa tempatan yang menjadi asas kepada kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

“Anugerah yang diterima hari ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian individu, malah membuktikan komitmen, disiplin, profesionalisme dan integriti yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, tengah hari tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis MBPP serta ketua-ketua jabatan.

Mooi Lye berkata, penerima APC perlu menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin untuk terus meningkatkan prestasi, di samping menjadi contoh kepada seluruh warga MBPP dalam membudayakan kecemerlangan perkhidmatan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi turut merakamkan penghargaan kepada 60 pesara MBPP yang diraikan atas segala jasa dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Persaraan bukanlah noktah kepada sebuah perjuangan, sebaliknya merupakan permulaan kepada satu fasa kehidupan yang baharu.

“Walaupun tidak lagi berkhidmat secara rasmi, pengalaman, ilmu serta nilai-nilai kerja yang ditinggalkan akan terus menjadi panduan dan inspirasi kepada generasi warga kerja MBPP pada masa hadapan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai hala tuju MBPP, Mooi Lye berkata bahawa pihaknya akan terus memperkukuh agenda pendigitalan menerusi pelbagai platform dalam talian bagi memudahkan urusan rakyat, termasuk pembayaran tanpa tunai, sistem aduan, pelesenan, urusan pembangunan serta pelbagai perkhidmatan perbandaran yang lebih cekap dan pantas.

Menurut beliau, MBPP juga komited memperkukuh pelaksanaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Urus Tadbir (ESG) menerusi pelbagai inisiatif yang memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar, kesejahteraan komuniti serta tadbir urus yang berintegriti.

“Komitmen tersebut bukan sahaja menyokong visi Penang2030, malah memperlihatkan kesediaan MBPP menerajui pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh warga MBPP akan terus berganding bahu meneruskan legasi kecemerlangan agar MBPP kekal sebagai sebuah PBT yang disegani, progresif, berdaya saing serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD