Penerima dana ‘Penang i4.0 Seed Fund’ perlu pemantauan Kerajaan Negeri – ADUN Pengkalan Kota

GEORGE TOWN – Sejak tahun 2018 sebanyak 37 firma baharu mendapat dana berkaitan daripada Kerajaan Negeri di bawah ‘Penang i4.0 Seed Fund’, namun hingga kini didapati hanya 18 syarikat masih aktif.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen berharap agar pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dapat melaksanakan kerja-kerja pemantauan berwajib demi mengenal pasti firma-firma yang berpotensi di Pulau Pinang.

“Hanya 18 syarikat yang terlibat masih aktif iaitu lebih kurang separuh daripada jumlah penerima.

“Sehubungan dengan itu, saya memohon agar perhatian dapat diberikan bagi memantau pelaksanaan dana Penang i4.0 Seed Fund, dan dengan harapan itu kita dapat mencungkil syarikat-syarikat ‘unicorn’ dari Pulau Pinang,” jelasnya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan 2022 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 29 November 2021.

Sebelum itu, beliau berkata pihaknya menyambut baik pembentangan belanjawan tahun 20202 yang memperuntukkan sejumlah RM1 juta di bawah agensi-agensi negeri berkaitan.

“Saya turut menyambut baik usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri khususnya di bawah Penang Science Cluster, pembangunan Perpustakaan Digital, Penang Future Foundation dan Penang i4.0 Seed Fund dengan peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2022.

“Ini adalah untuk merangka asas yang kukuh kepada rakyat Pulau Pinang, khususnya anak-anak muda untuk menyokong keperluan industri dan pasaran pada masa hadapan,” jelasnya sambil menyokong RUU Enakmen Perbekalan 2022 yang dibentangkan Kon Yeow selaku Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada 26 November lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB