Pengguna dan peniaga tertekan, mahu kerajaan tangani kenaikan harga barang

KENAIKAN harga barangan yang tidak terkawal terutamanya melibatkan bahan mentah sejak kebelakangan ini dilihat memberikan tekanan sangat hebat kepada pengguna serta peniaga kecil.

Keadaan ini pastinya memberikan kesan berganda kepada kebanyakan rakyat di negera ini yang masih lagi bergelut untuk membina semula kehidupan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sejak awal tahun lalu.

Tinjauan Buletin Mutiara ke Pasar Awam Seberang Jaya mendapati harga kebanyakan bahan mentah terutamanya sayur-sayuran seperti bunga kubis, kacang buncis, cili merah, brokoli dan lain-lain meningkat kira-kira 30 hingga 50 peratus.

Sementara daging ayam pula masih dijual pada harga yang tinggi iaitu sekitar RM9 hingga RM10 untuk sekilogram.

Peniaga sayur-sayuran, YAH SAAD, 59, ketika ditemui berkata bahawa peningkatan harga bahan mentah yang tidak terkawal kini telah meletakkan peruncit dan peniaga kecil dalam keadaan tersepit ketika ini.

Yah Saad menerangkan masalah yang dihadapi oleh peruncit ekoran kenaikan harga barang.

“Kenaikan harga bahan mentah sebenarnya bukan salah peruncit kerana kami juga mendapatkan bekalan dengan harga yang tinggi daripada pihak pemborong.

“Sayur brokoli contohnya, kami beli daripada pembekal pada harga RM18 sekilogram sekarang berbanding hanya RM15 sahaja sebelum ini, dan kami terpaksa menjualnya dengan harga RM20 untuk mendapatkan sedikit keuntungan.

“Kenaikan harga di peringkat peruncit tidak dapat dielakkan kerana kami terpaksa melalui beberapa peringkat iaitu pekebun, pemborong dan barulah sampai kepada peruncit,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui pagi tadi.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Pusat supaya mengambil langkah segera bagi menangani isu kenaikan harga bahan mentah terutamanya di peringkat pemborong.

“Kerajaan perlu menetapkan harga kawalan bagi bahan mentah bukan di peringkat peruncit tetapi pemborong kerana kami kini tersepit,” katanya yang mendapatkan bekalan sayur-sayuran dari pemborong di sekitar Pulau Pinang.

Peniaga ayam, HAFIZAN HALIM, 31, pula berkata bahawa kekurangan bekalan ayam segar di pasaran dilihat menjadi punca kenaikan mendadak harga makanan protein itu sejak beberapa bulan lalu.

Hafizan Halim.

 

Beliau berkata, ketika ini harga bagi sekilogram ayam segar yang diperolehi daripada pemborong adalah sekitar RM8.30 sekilogram dan dijual kepada pelanggan pada harga RM9 hingga RM10.

“Sebelum ini okay sahaja tetapi sejak kerajaan (Pusat) mengumumkan pembukaan hampir kesemua sektor ekonomi beberapa bulan lalu, bekalan ayam sering tidak mencukupi dan berlanjutan sampai hari ini.

“Sekarang bekalan ayam di Pulau Pinang memang sangat kurang sampai kita terpaksa dapatkan ayam dari luar seperti Perak, Kedah dan adakalanya hingga Selangor untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Kerajaan (Pusat) minta peniaga jual pada harga kurang daripada RM10 bagi sekilogram, jadi untung yang kami dapat sekarang sangat ‘nipis’,” ujarnya.

Oleh itu, beliau berharap agar Kerajaan Pusat dapat mencari jalan untuk menstabilkan semula harga ayam melalui insentif dan pelaksanaan skim galakan kepada peladang kecil bagi memastikan bekalan ayam mencukupi di pasaran.

“Kebanyakan peladang kecil sudah berhenti bela ayam kerana kos makanan ayam seperti dedak dan pelet meningkat di pasaran,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan menjual ayam sejak tujuh tahun lalu.

Bagi peniaga makanan, PARIDAH DESA,58, kenaikan harga bahan mentah yang terlalu tinggi ketika ini benar-benar membebankan peniaga dan pengguna.

“Contohnya, sebelum ini kami beli sayur kubis pada harga RM4 untuk sekilogram tetapi kini telah meningkat kepada RM8, begitu juga dengan bunga kubis daripada RM12 sekilogram kepada RM20.

“Sepanjang saya berniaga sejak 20 tahun lalu, inilah kali pertama saya menyaksikan harga bahan mentah naik dengan begitu tinggi.

Paridah Desa.

“Walau bagaimanapun, sebagai peniaga, kami tidak boleh menaikkan harga makanan sesuka hati walapun bahan mentah meningkat kerana pelanggan pasti akan merungut.

 

“Apa yang kami boleh lakukan sekarang adalah dengan mengurangkan kuantiti makanan untuk mengelakkan daripada kerugian tetapi cara ini juga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pengguna.

“Sekarang peniaga makanan memang sangat tersepit tetapi terpaksa juga meneruskan perniagaan kerana ini sahaja punca pendapatan yang kami ada,” katanya yang telah memulakan perniagaan makanan sejak tahun 1991 lagi.

Ekoran daripada itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera melaksanakan kawalan terhadap harga bahan mentah bagi mengelakkan kenaikan yang lebih tinggi.

“Kerajaan (Pusat) perlu cari penyelesaian menang-menang agar peniaga dan pengguna tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barangan yang berlaku sejak kebelakangan ini,” serunya lagi.

Sementara itu, Buletin Mutiara turut menghubungi Setiausaha Persatuan Pekebun Kecil Pulau Pinang, CHENG SIEW YANG, 48, untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan pekebun kecil di sebalik kenaikan harga sayur-sayuran kini.

Beliau menjelaskan bahawa peningkatan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini tidak memberikan manfaat secara langsung kepada pekebun kecil kerana penetapan harga adalah di peringkat pemborong.

“Sebenarnya pekebun masih menjual sayuran-sayuran pada harga yang masih berpatutan iaitu sekitar RM6 sekilogram kepada pemborong.

“Jika berlaku kenaikan harga pun hanya sedikit sahaja untuk mengimbangi kenaikan kos pertanian seperti baja yang kini mengalami peningkatan harga, contohnya baja jenama ‘YARA’ meningkat daripada RM138 kepada RM198.

Cheng Siew Yang.

“Peningkatan harga baja dan racun seperti racun rumput, racun kulat dan racun ulat tidak dapat dielakkan kerana kenaikan ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi seluruh dunia.

“Selain itu, faktor hujan lebat sekarang ini dan kekurangan tenaga buruh asing telah menjejaskan lagi hasil pertanian,” katanya.

 

Justeru, beliau berharap agar Kerajaan Pusat dapat mencari penyelesaian mengenai isu tersebut melalui galakan dan pemberian insentif yang dapat memberi manfaat terus kepada pekebun sayur sekali gus dapat meningkatkan lagi hasil pertanian mereka.

“Walaupun Perdana Menteri mengumumkan peruntukan untuk sektor pertanian agak besar dalam bajet baru-baru ini tetapi ia banyak disalurkan kepada pesawah dan nelayan.

“Oleh itu, kita harap kerajaan dapat memberikan galakan dan insentif yang mampu memberi manfaat terus kepada pekebun sayur,” katanya sambil menambah bahawa masalah kenaikan harga bahan mentah akan berlanjutan sehingga pertengahan tahun depan sekiranya tiada langkah proaktif diambil oleh pihak kerajaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI