Pengakap Pulau Pinang sumbang RM10,000 kepada Tabung Penang Lawan Covid-19

Admin

GEORGE TOWN – Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang (PPMNPP) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Penang Lawan Covid-19 dalam satu majlis yang berlangsung di Komtar pagi tadi.

Penyerahan cek replika tersebut disampaikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Zulkafli Kamaruddin kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Sumbangan tersebut diperoleh hasil daripada jualan Lencana Edisi Terhad Penang Lawan COVID-19.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atas inisiatif menerbitkan lencana dan komitmen untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Penang Lawan Covid-19.

“Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang telah melancarkan Lencana Edisi Terhad Penang Lawan COVID-19,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan-pertandingan Sempena PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Penyerahan Cek Sumbangan Tabung Penang Lawan Covid-19.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee merangkap Timbalan Yang Dipertua  Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang.

Pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang yang memenangi pertandingan-pertandingan berkaitan dalam tempoh PKP baru-baru ini.

Antara aktiviti dan program yang dijalankan pada tempoh PKP lalu termasuk kuiz Pengakap dalam talian, pertandingan melukis poster dan pertandingan video pendek dan foto kreatif.

Program-program lain termasuk kelas pengakapan dalam talian, ujian kepengakapan dalam talian, perjumpaan kumpulan dalam ralian dan banyak lagi.

“Jumlah kutipan Tabung Penang Lawan Covid-19 saya sudah umumkan minggu lalu, iaitu kira-kira lebih RM2.9 juta,” ulas Kon Yeow merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang.

Zulkafli dalam pada itu memberitahu bahawa inisiatif jualan Lencana Edisi Terhad Penang Lawan COVID-19 tersebut merupakan usaha Persekutuan Pengakap Negeri Pulau Pinang dalam menyokong Kerajaan Negeri melawan pandemik tersebut.

Logo ciptaan Mark Tan Weng Son itu difahamkan menerima lebih 12,000 tempahan dari dalam dan luar negara.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI