Penganjur, peniaga pasar pagi dan pasar malam perlu dapatkan kelulusan – Ahli Majlis MBPP

Admin

PADANG KOTA – Semua penganjur dan pihak yang menguruskan pasar pagi dan pasar malam di negeri ini perlu mendapatkan kelulusan perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terlebih dahulu.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, Wong Yuee Harng berkata, terdapat garis panduan tertentu untuk menganjur dan mengawal aktiviti perniagaan di tapak-tapak perniagaan pasar pagi dan pasar malam yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan tersebut.

 

“Garis panduan ini turut terpakai untuk penganjuran pasar tani dan permohonan hanya boleh dibuat oleh badan-badan seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau Persatuan Penduduk setempat sebelum dipertimbangkan oleh pihak Majlis (MBPP).

 

“Pihak Majlis juga akan mempertimbangkan permohonan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan penganjuran pasar tani.

 

WONG Yuee Harng.

“(Dan) setiap permohonan akan dirujuk kepada Pegawai Daerah, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Dalaman Majlis (Jawatankuasa Teknikal) berkaitan untuk ulasan,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya, sebentar tadi.

 

Hadir sama, rakan sepenjawatan, Gerald Mak Mun Keong, Harvindar Singh, Nicholas Theng, Azahari Aris dan Latifah Hussainsa.

 

Dalam pada itu, menurut Yuee Harng, walaupun kelulusan telah diberikan kepada pihak pengurusan namun pihak Majlis masih mempunyai kuasa untuk menutup atau mengubah lokasi perniagaan pada bila-bila masa pada tarikh-tarikh tertentu.

 

“Pihak Majlis juga berhak menarik balik kebenaran dan membatalkan lesen pada bila-bila masa jika penganjur tidak mematuhi arahan Majlis.

 

“(Dan) sekiranya terdapat aktiviti pasar-pasar berkaitan yang didapati beroperasi tanpa kelulusan Majlis, tindakan pengeluaran notis dan kompaun akan dikenakan terhadap penganjur,” tegasnya yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam.

 

Difahamkan, hanya 38 lokasi perniagaan yang mempunyai lesen perniagaan sah di bawah pentadbiran MBPP setakat ini.

 

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN