Penganjuran Fiesta Sukan Pulau Pinang, platform dedahkan masyarakat dengan aktiviti sukan – Exco

SOON Lip Chee (kiri sekali) menunjukkan penanda buku diskaun yang boleh didapati di lokasi terpilih dan digunakan pada Fiesta Sukan dari 23 November hingga 2 Disember ini.

GEORGE TOWN – Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang buat julung kalinya akan menganjurkan Fiesta Sukan Pulau Pinang dari 23 November hingga 2 Disember ini bertempat di Gurney Paragon Mall.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, penganjuran fiesta sukan berkenaan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa aktiviti sukan merupakan satu tumpuan yang tidak boleh diabaikan oleh masyarakat.

Dengan penganjuran ini, Kerajaan Negeri menyediakan satu platform kepada masyarakat terutamanya rakyat di Pulau Pinang untuk mencari dan mendapatkan alatan, pakaian serta bahan yang sesuai untuk mereka menjalankan aktiviti sukan,” ujar beliau pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota yang juga Ahli MMK Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen dan wakil-wakil penaja.

Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Sun Light Galaxy Sdn. Bhd. dengan kerjasama jenama sukan terkenal Li Ning akan bersama-sama memeriahkan acara sulung berkenaan.

Lip Chee dalam pada itu memberitahu, pihaknya juga akan mengedarkan penanda buku diskaun untuk dinikmati orang ramai sepanjang fiesta berlangsung.

Sekeping penanda buku, diskaun sebanyak RM30 dapat dinikmati bagi pembelian RM300 dalam sekeping resit.

Ianya boleh didapatkan di tempat berikut seperti Pusat Khidmat Bagan Jermal, MSNPP, Pejabat Exco di Tingkat 53, Komtar dan Gurney Paragon,” jelasnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Acara yng berlangsung kira-kira 11 hari itu bermula dari jam 12 tengah hari hingga jam 9 malam.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI