Peruntukan Belanjawan 2019 Pusat untuk Pulau Pinang meningkat, RM857 juta

BAYAN LEPAS – Belanjawan 2019 Pusat akan membawa limpahan peruntukan tahunan kira-kira RM857 juta untuk rakyat Pulau Pinang, berbanding dalam bajet terdahulu pada era Barisan Nasional (BN) iaitu sejumlah RM608 juta sahaja.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagaimanapun tidak memperincikan tujuan-tujuan perbelanjaan peruntukan itu ketika berucap pada Majlis Taklimat Khas Belanjawan 2019 di Hotel Equatorial di sini pada 7 November 2019.

“Untuk Pulau Pinang, kalau dahulu (melalui Bajet 2018 Pusat) dia (Kerajaan Persekutuan era Umno BN) beri RM608 juta, kali ini kita bagi RM857 juta,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Penjelasan itu sekaligus menjawab sebahagian saranan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow iaitu mahu Kementerian Kewangan memperincikan jumlah peruntukan serta projek-projek Persekutuan yang diluluskan, susulan kepada permohonan bertulis oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut menyanggah tuduhan sesetengah pihak kononnya Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan hari ini meminggirkan negeri-negeri yang dikuasai Parti Islam Se-Malaysia (PAS), seperti Kelantan.

“Bukan sahaja Pulau Pinang untung, Kelantan pun untung.

“Kalau dahulu (melalui Bajet 2018 Pusat, Kelantan menerima peruntukan Persekutuan sebanyak) RM1,214 juta (RM1.214 bilion), kali ini (melalui Belanjawan 2019 Pusat) kita beri RM1,376 juta (RM1.376 bilion),” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan merangkap Ahli Parliman Bagan.

Dalam nada sederhana, Guan Eng turut menasihatkan pemimpin tertentu PAS supaya tidak membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap mana-mana pemimpin Pakatan Harapan yang sedang gigih memulihkan keadaan kewangan negara, termasuk hutang Persekutuan lebih RM1 trilion.

“Jadi, janganlah cakap Kerajaan Pembangkang, kita (Pakatan Harapan) tak jaga.

“Kita (Kerajaan Persekutuan) bagi wang kerana dia (Kerajaan Negeri Kelantan) tak mampu bayar gaji (penjawat awam), tapi dia (pemimpin PAS) pula maki sama kita,” nasihatnya kepada pemimpin PAS Kelantan tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi respons mengenai hasrat pentadbiran Kon Yeow untuk mendapatkan RM1 bilion pinjaman mudah Persekutuan bagi pelaksanaan dua projek komponen pembangunan bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) secara serentak, iaitu transit aliran ringan (LRT) George Town ke Bayan Lepas dan projek pintasan lebuh raya Penang Island Link 1 (PIL1).

Dalam Belanjawan 2019 Pusat yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 November lalu, Guan Eng menjelaskan bahawa peruntukan kepada negeri-negeri keseluruhannya meningkat pada RM31.7 bilion, berbanding pada era Kerajaan Persekutuan terdahulu iaitu sebanyak RM28 bilion sahaja.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN