Pengarah MSNPP bangga Kontinjen SUKMA Pulau Pinang kumpul 100 pingat, tahniah!

HARRY Chai Heng Hua

PUCHONG, SELANGOR – Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 yang baru melabuhkan tirai temasya malam tadi menyaksikan Kontinjen Pulau Pinang berada pada kedudukan ketujuh terbaik dalam carta, dengan membawa pulang 100 pingat iaitu 30 emas, 28 perak dan 42 gangsa.

Juara keseluruhan sukan dwitahunan pada kali ini adalah Johor dengan meraih 77 pingat emas, diikuti Terengganu (64), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (55), Sarawak (32) dan Selangor (31).

Kontinjen Negeri Sabah, walaupun mempunyai 30 pingat emas sama seperti Pulau Pinang, berada pada kedudukan keenam terbaik dalam carta dengan kelebihan satu pingat perak sahaja berbanding Pulau Pinang (29).

CARTA kedudukan kontinjen negeri SUKMA Ke-20.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua memberitahu Buletin Mutiara bahawa beliau secara peribadi bangga dengan pencapaian keseluruhan kontinjen negeri di bawah Ketua Kontinjen (CDM), Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan.

Ini kerana, menurut Heng Hua, MSNPP dalam temasya SUKMA pada kali ini hanya menyasarkan 90 pingat sahaja iaitu 26 emas, 20 perak dan 44 gangsa.

“Tentu sekali saya berasa amat bangga dengan pencapaian keseluruhan atlet Pulau Pinang kerana telah menyumbang pingat melebihi sasaran peringkat MSNPP.

“Secara umumnya, pencapaian atlet adalah melepasi sasaran, paling membanggakan adalah skuad bola sepak Pulau Pinang.

“Pasukan di bawah (ketua jurulatih) Akmal Rizal Ahmad Rakhli merupakan antara pasukan bola sepak terbaik yang dihasilkan di Pulau Pinang, yang mana kita (MSNPP) tidak menyasar sebarang pingat tetapi pasukan bola sepak kita berjaya sampai ke perlawanan akhir dan menyumbang satu pingat perak.

“Sekembalinya ke Pulau Pinang, kita akan membuat melihat semula semua aspek kekuatan, kelemahan dan peluang dalam semua acara yang kita sertai untuk tujuan memantapkan lagi persiapan kontinjen negeri sekali gus memperbaiki kedudukan Pulau Pinang dalam saingan SUKMA akan datang.

“Dalam tempoh seminggu akan datang kita (MSNPP) akan membuat ‘post-mortem’ dan dalam tempoh dua minggu lagi kita akan mengadakan majlis pemberian insentif kepada para atlet yang mana kita sedang menunggu tarikh dari Pejabat Ketua Menteri,” jelasnya di Urus Setia Utama, Espire Kinrara Resort di sini pada 25 September 2022.

SEBAHAGIAN Urusetia Utama Kontinjen SUKMA Pulau Pinang yang berkampung di Espire Kinrara Resort, Puchong di sini sejak 10 September lepas merakamkan gambar kenang-kenangan sebelum bergerak pulang ke Pulau Pinang menjelang tengah hari ini.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, Heng Hua berkata pihaknya akan berusaha dengan lebih keras untuk mempersiap barisan atlet bagi temasya SUKMA akan datang.

“Tumpuan pada atlet yang berjaya memenangi pingat, andai boleh beraksi lagi dalam SUKMA 2024 akan datang, kita (MSNPP) akan berusaha memantapkan lagi potensi mereka supaya kita boleh menukar ‘warna pingat’ mereka.

“Objektif kita (MSNPP) untuk pembangunan sukan bagi menghadapi temasya sukan SUKMA 2024 adalah ‘Melepasi Jangkaan’,” jelasnya lagi.

Tahniah atlet Pulau Pinang!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI