ZPP lancar aplikasi MaiZakat

TELOK AYER TAWAR – Zakat Pulau Pinang (ZPP) melancarkan aplikasi MaiZakat bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi berkenaan  menggunakan telefon pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali berkata aplikasi yang dibangunkan sejak tahun 2021 itu adalah susulan kejayaan pelancaran zakatpenang2u.com dan dijangka memberi manfaat kepada 70,000 pembayar zakat serta 53,000 penerima zakat di negeri ini.

Amran Hazali.

“Seiring dengan perkembangan teknologi terkini, kita (ZPP) memperkenalkan pula aplikasi MaiZakat yang memenuhi aspirasi orang ramai dalam menjalankan urusan zakat dengan lebih mudah dan pantas.

“Aplikasi ini menyediakan platform untuk orang ramai membuat permohonan, aduan atau mengemukakan sebarang laporan yang berkaitan asnaf kepada ZPP.

“Selain itu, beberapa ciri menarik juga disediakan untuk pengguna seperti membayar zakat, menyemak rekod bayaran zakat, kira-kira zakat atas talian dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran aplikasi MaiZakat sempena Majlis Iltizam Khaira Ummah 2030 dekat Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam di sini 23 September lalu.

Majlis pelancaran tersebut turut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Amran berkata kejayaan membangunkan aplikasi tersebut juga adalah selaras dengan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang menjadi hala tuju utama Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, kita buat berdasarkan cadangan-cadangan termasuk permintaan daripada masyarakat Islam khususnya para pembayar zakat di negeri ini untuk memudahkan urusan dengan ZPP selain mendapatkan maklumat terkini mengenai zakat di negeri ini.

“Justeru, kita bertuah kerana dapat melancarkan aplikasi MaiZakat yang mengandungi ciri-ciri lengkap berkaitan zakat di Pulau Pinang dan merupakan yang pertama kalinya.

“Aplikasi MaiZakat kini sudah boleh diakses dan dimuat turun oleh pengguna telefon pintar,” katanya lagi.

Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama jawatankuasa penganjur.

 

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin dalam ucapannya menyatakan bahawa ZPP sebagai agensi utama yang sentiasa aktif dalam usaha dan inisiatif ke arah mewujudkan keseimbangan sosioekonomi ummah di negeri ini.

“ZPP juga akan terus berperanan dalam merealisasikan sasaran kutipan zakat berjumlah RM161.5 juta dengan bilangan muzakki mencapai sebanyak hampir 80,000 orang.

“Saya difahamkan kutipan zakat setakat bulan Ogos 2022 telah melebihi hampir RM10 juta daripada kutipan zakat yang dicapai dalam tempoh yang sama pada tahun 2021,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS