Pengguna perlu bijak memilih premis makanan bersih dan selamat

Admin

SEBERANG JAYA – Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib berkata, sikap pengguna memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan makanan.

Katanya, pengguna perlu bijak memilih premis yang bersih dan selamat bagi menjamin keselamatan makanan yang di makan.

“Seringkali pengguna lalai dalam pemilihan premis dengan hanya mementingkan kelazatan semata-mata tanpa memikirkan aspek-aspek keselamatan makanan.

“Sehubungan itu, pengetahuan mengenai keselamatan makanan perlu disematkan dalam diri dan pemikiran serta diamalkan oleh semua pihak sama ada pengeluar, pengendali makanan mahupun pengguna sendiri.

Dr. Asmayani menyampaikan Sijil Keselamatan Makanan kepada salah seorang pengusaha yang layak.

“Pendedahan awal kepada budaya keselamatan makanan seperti amalan mencuci tangan sebelum makan sebenarnya perlu dilaksanakan seawal mungkin,” katanya semasa berucap mewakili Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Karnival Pensijilan Keselamatan Makanan Peringkat Pulau Pinang, dekat Pasaraya Mydin, di sini, semalam,

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafizah Ku Ariffin; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Habibah Sulaiman; wakil Pengarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Mohd. Radzi Ali serta wakil Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Faizal Ibrahim.

Difahamkan, karnival bertemakan yang ‘Makanan Selamat Pemangkin Ekonomi Negara’ itu adalah anjuran kali kelapan di negeri ini dengan kerjasama empat agensi utama iaitu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pertanian Pulau Pinang, FAMA dan JHEAIPP.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Asmayani menjelaskan bahawa penganjuran karnival berkenaan adalah platform untuk menyalurkan informasi bagi memberi kesedaran, pengetahuan dan kefahaman berkaitan keselamatan dan kualiti makanan khususnya kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).

“Justeru, diharapkan karnival ini dapat memberi motivasi kepada pengusaha-pengusaha terutamanya IKS untuk memohon pensijilan yang diperkenalkan oleh penganjur seperti HACCP (Hazard Analysis & critical Control Point), GMP (Good Manufacturing Practice), MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) dan Halal,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS