Pelaksanaan Program Penang Sihat Di KADUN Pulau Pinang lebih santai, sedia pelbagai perkhidmatan kepada rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Setiap pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di seluruh Pulau Pinang diseru agar menjayakan Program Penang Sihat di kawasan masing-masing.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata melalui pelaksanaan Program Penang Sihat KADUN PUlau Pinang berkenaan, pelbagai perkhidmatan dan penerangan berkaitan penjagaan kesihatan dapat ditawarkan kepada masyarakat setempat.

“Program Penang Sihat ini bersifat lebih santai dan penyampaiannya dapat dijalankan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

“Misalnya, jika kita ke klinik biasa, masuk jumpa doktor satu atau  dua minit sudah kena panggil pesakit lain pula sebab masa yang diperuntukkan oleh doktor untuk seseorang pesakit adalah terhad.

“Tetapi melalui Program Penang Sihat KADUN Pulau Pinang bermacam-macam  perkhidmatan dan penerangan berkenaan penjagaan kesihatan  akan disediakan,” ujar Afif ketika berucap pada sesi Taklimat Program Penang Sihat Di KADUN Pulau Pinang dekat Komtar pagi ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Mohd. Amir Hashim dan wakil-wakil daripada 40 KADUN terlibat.

Tambah Afif, pendekatan tersebut mampu mencapai golongan sasar dan membantu rakyat terbanyak.

Dalam pada itu, Amir Hisham ketika berucap memaklumkan antara pengisian program yang dilaksanakan termasuklah pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan pergigian, pameran/ceramah kenali ubat dan pameran kesihatan.

“Antara objektif program ini termasuklah mengesan awal risiko penyakit tidak berjangkit khasnya hipertensi dan diabetis, mengesan masalah berat badan dalam kalangan masyarakat, penjagaan kesihatan gigi dan mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.

Difahamkan program tersebut akan dijalankan diseluruh KADUN Pulau Pinang pada hari Sabtu dan Ahad.

Pejabat KADUN yang berminat perlu mengemukakan permohonan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terlibat dan peruntukan melalui pejabat Exco.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS