Penggunaan Akta 672, Kerajaan Negeri tunggu butiran lanjut

Admin
whatsapp image 2024 04 01 at 2.06.07 pm

GEOGRE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih menunggu butiran lanjut berhubung cadangan penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan lanjut bersama-sama pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Setakat ini, wakil daripada SWCorp telah membuat pembentangan kepada Kerajaan Negeri dan kita putuskan bahawa mereka perlu memberikan butiran lebih lanjut dan lengkap mengenai cadangan tersebut.

“Ini termasuklah skop bahagian-bahagian kerja yang akan diambil alih serta peranan Kerajaan Negeri dan apakah pihak (operator) yang sedang menguruskan sistem pepejal letika ini masih akan dikekalkan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga perlu mengetahui sama ada bayaran yuran tipping akan dikenakan atau sebaliknya serta cara tapak pelupusan sampah di negeri ini akan diuruskan kelak,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan perbincangan berhubung perkara itu dan sebarang cadangan yang dikemukakan akan dibawa mesyuarat Exco untuk pertimbangan lanjut.

“Kita akan teruskan perbincagan ini untuk melihat sama ada Kerajaan Negeri sudah sedia untuk menerima pakai Akta 672 yang melibatkan serahan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dalam skop yang ditentukan kelak,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pulau Pinang mungkin menjadi negeri ke sembilan menerima pakai Akta 672 selepas Selangor yang secara prinsip sudah menyatakan persetujuan mahu mengguna pakai akta tersebut.

Ketika ini, tujuh negeri mengguna pakai Akta 672 iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Difahamkan, Akta 672 adalah untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

Video : DARWINA MOHD. DAUD