Penggunaan solar di bangunan milik MBSP mampu jimat hampir RM50,000 setahun

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) telah melaksanakan penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui pemasangan sistem solar secara Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baru atau Supply Agreement of Renewable Energy (SARE).


Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, pemasangan tersebut melibatkan tiga bangunan milik MBSP iaitu Kompleks Sukan Bertam, Kompleks Sukan Jalan Betek dan Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek.

 

“MBSP telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) SARE bersama-sama pihak TNB dan GSPARX dua tahun yang lalu.

 

“Melalui program SARE bersama-sama kedua-dua pihak ini, MBSP tidak mengeluarkan sebarang kos awalan (zero capex) untuk pemasangan sistem solar di bangunan yang telah dipilih.

 

“Tenaga solar yang dijana akan menggantikan tenaga konvensional yang mana MBSP dapat menikmati penjimatan bil hampir RM50,000 setahun,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pemasangan Panel Solar Fotovoltaik (PV) Melalui Program SARE Antara MBSP, TNB dan GSPARX dekat Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pemangku Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ahli-ahli Majlis bagi MBSP.

 

Difahamkan, sejajar dengan usaha tersebut, Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) pada ketika ini sedang mengkaji inisiatif solar ini diperluaskan di semua jabatan kerajaan sebagai usaha merealisasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, di bawah tema D3: Mengintegrasikan Perkhidmatan Perbandaran Dengan Teknologi Pintar.

 

Sementara itu, Rozali ketika berucap memaklumkan, selain daripada pemasangan panel solar di Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek, pihak GSPARX juga telah membuat penggantian bumbung yang baru bagi menampung pemasangan sebanyak 300 unit panel solar dan ianya juga tanpa sebarang kos awalan ditanggung oleh pihak MBSP.

 

“Tenaga solar ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos pembiayaan elektrik bagi ketiga-tiga bangunan tersebut. Di Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek, anggaran penjimatan tahunan ialah sebanyak RM15,400, di Kompleks Sukan Jalan Betek ialah sebanyak RM10,636 dan di Kompleks Sukan Bertam ialah sebanyak RM16,473.

 

“MBSP dalam pada itu juga memasang panel solar di bumbung tempat letak motosikal pekerja di Ibu Pejabat MBSP di Bandar Perda dan dalam perancangan memasang panel sama di tempat letak kereta Ibu Pejabat MBSP Bandar Perda,” katanya lagi.

 

Difahamkan pemasangan tersebut mampu menambahkan lagi penjimatan sehingga RM26,829.63 setahun bagi tempoh selama 25 tahun.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD