Penghuni flat terima hamper perayaan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PADANG TEMBAK – Sempena meraikan perayaan Deepavali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bungah, Cheah Kah Peng baru-baru ini menyampaikan sejumlah 54 buah hamper kepada penghuni beragama Hindu Flat Rifle Range dekat sini.

Menurutnya, acara tradisi tersebut memberi keutamaan kepada penduduk memerlukan terutama dalam kemeriahan menyambut perayaan-perayaan utama.

“Sekurang-kurangnya dengan bantuan ini, ia dapat meringankan sedikit bebanan mereka yang memerlukan dan mengukir senyuman tatkala menyambut Deepavali,” ujarnya sejurus selepas majlis ringkas penyampaian hamper di pusat khidmatnya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit mewakili Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang menghadiri sidang Parlimen di Kuala Lumpur pada hari berkenaan.