Mangsa banjir dapat perhatian KN

Oleh: YAP LEE YIING

PULAU BETONG – Kejadian banjir membabitkan 60 rumah di sini baru-baru ini memperoleh reaksi pelbagai pihak yang turut serta turun padang membantu mangsa-mangsa terlibat.

Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Aidi Akhbal berkata, seramai 200 penduduk terpaksa dipindahkan ke Masjid Pulau Betong di sini bagi mendapatkan perlindungan sementara pada hari kejadian.

“Ini termasuk penduduk dari Pulau Betong, Permatang Tengah dan Kampung Terang di sini.

“ Sepanjang tempoh dipindahkan, para mangsa turut diberikan bantuan makanan tengah hari dan petang sehingga mereka (mangsa) dibenarkan pulang setelah air surut pada hari yang sama,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Turut terlibat dalam operasi tersebut adalah Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail, Ahli Majlis MPPP, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pulau Betong serta Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Barat Daya.

Tambah Aidi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang turut menenggelamkan lapan buah kereta milik penduduk sekitar.

“Namun, ketika sedang asyik memunggah barang rumah daripada dimusnahkan air banjir, seorang surirumah, Aishah Hashim, 67, telah dipatuk ular berbisa.

“Beliau yang kemudian dikejarkan ke hospital bagaimanapun kini berada dalam keadaan stabil,” jelas beliau.