Pengiktirafan perlu dimanfaatkan, ADUN cadang Air Itam jadi destinasi utama pelancongan antarabangsa

Admin
screenshot 2026 11 02 163453

GEORGE TOWN – Pengiktirafan Pulau Pinang sebagai antara 25 destinasi terbaik dunia untuk dilawati pada 2027 oleh National Geographic perlu dimanfaatkan secara strategik bagi merancakkan industri pelancongan negeri, termasuk memastikan limpahan ekonominya turut dinikmati komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, Air Itam mempunyai kelebihan tersendiri untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan utama berikutan memiliki tarikan ikonik seperti Kuil Kek Lok Si, Bukit Bendera serta keunikan warisan budaya dan gastronomi tempatan.

Menurutnya, pengiktirafan yang diumumkan pada 20 Oktober 2026 itu merupakan satu pencapaian membanggakan memandangkan Pulau Pinang ialah satu-satunya negeri di Malaysia dan antara lima destinasi dari Asia yang tersenarai.

Sehubungan itu, Soon Siang mencadangkan tiga langkah utama bagi memastikan pengiktirafan berkenaan dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang lebih menyeluruh, khususnya kepada penduduk Air Itam.

“Pertama, promosi pelancongan Air Itam perlu diperkukuh dengan menjadikannya antara destinasi wajib dalam pakej pelancongan antarabangsa melalui gabungan tarikan warisan budaya, alam semula jadi dan makanan tempatan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, sebentar tadi.

Beliau turut mencadangkan agar hubungan pengangkutan dan akses pelancong ke Air Itam dipertingkatkan, terutama susulan pertambahan kapal persiaran antarabangsa yang dijadualkan berlabuh di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier.

Katanya, bermula 30 Oktober 2026, lima kapal persiaran antarabangsa dijadualkan membuat persinggahan sulung di terminal berkenaan, sekali gus membuka peluang ekonomi yang besar kepada industri pelancongan negeri.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa manfaat daripada kedatangan pelancong kapal persiaran tidak seharusnya tertumpu di George Town semata-mata, sebaliknya perlu diperluas ke destinasi lain termasuk Air Itam.

“Kerajaan Negeri boleh bekerjasama dengan pihak pelabuhan dan pengusaha pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan bas perantara khas (heritage shuttle) serta pakej lawatan yang menghubungkan Swettenham Pier, George Town, Air Itam dan Bukit Bendera.

“Dengan kemudahan ini, pelancong yang singgah selama beberapa jam berpeluang menikmati keindahan Bukit Bendera, keunikan makanan tempatan serta warisan budaya Air Itam,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa peningkatan kedatangan pelancong perlu disusuli usaha memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati secara langsung oleh komuniti setempat.

Jelasnya, pertumbuhan industri pelancongan sewajarnya membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada penjaja kecil, peniaga makanan, pengusaha inap desa, pemandu teksi, pengusaha e-hailing serta pemain industri pelancongan tempatan.

Menurut Soon Siang, pengiktirafan National Geographic bukan sekadar satu kebanggaan kepada Pulau Pinang, malah peluang ekonomi yang perlu dimanfaatkan melalui perancangan dan strategi promosi yang berkesan.

Beliau berharap Kerajaan Negeri dapat meletakkan Air Itam sebagai antara destinasi utama dalam strategi promosi pelancongan antarabangsa Pulau Pinang agar manfaat pertumbuhan sektor berkenaan dapat dirasai lebih meluas.

“Kita bukan sahaja mahu pelancong datang ke Pulau Pinang tetapi kita mahu mereka turut datang ke Air Itam, berbelanja di Air Itam dan membawa pulangan ekonomi kepada masyarakat Air Itam,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS