Pengiring OKU, kanak-kanak bawah 12 tahun dikecualikan bayaran masuk Kolam Renang MBSP Jalan Betek

img 20260702 wa0143 870x522

SEBERANG JAYA – Pengiring kepada Orang Kurang Upaya (OKU) serta kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan masuk secara percuma ke Kolam Renang Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jalan Betek, mulai 1 September 2026.

Ahli Majlis bagi MBSP, K. Yoganraj Thever berkata, keputusan itu dibuat susulan terdapat permintaan daripada pihak berkaitan, khususnya ibu bapa atau penjaga yang hanya hadir sebagai pengiring dan tidak menggunakan kemudahan kolam renang berkenaan.

img 20260826 wa0054
K. Yoganraj Thever.

Bagaimanapun, katanya, hanya seorang pengiring bagi setiap OKU atau kanak-kanak dibenarkan masuk secara percuma pada satu-satu masa.

“MBSP bersetuju memberikan pengecualian bayaran masuk ke kolam renang MBSP, Kompleks Sukan dan Rekreasi, Jalan Betek kepada ibu bapa atau penjaga yang tidak berenang tetapi hadir untuk mengiringi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah atau OKU.

“Selain itu, kemasukan percuma turut diberikan kepada individu autisme atau OKU dengan syarat mereka mengemukakan kad perakuan OKU.

“MBSP juga bersetuju mengecualikan bayaran masuk bagi warga emas pada setiap Selasa dan Khamis untuk sesi pagi sahaja sebagai usaha menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh Majlis MBSP yang dipengerusikan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid, di Menara Bandaraya MBSP, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Yoganraj berkata, waktu operasi Kolam Renang MBSP turut diawalkan daripada jam 9 pagi kepada 8.30 pagi bermula 1 September ini.

“Kami mengekalkan operasi dalam dua sesi iaitu sesi pagi dari jam 8.30 pagi hingga 1 petang, manakala sesi petang bermula jam 4 petang hingga 9 malam.

“Kolam renang ini ditutup pada setiap Jumaat,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS