GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik pengumuman yang membawa kepada pemulihan kestabilan di Asia Barat, dan berharap ia dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan ekonomi global.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, konflik yang tercetus sebelum ini telah memberi impak yang amat ketara kepada pelbagai sektor di seluruh dunia, khususnya melibatkan bekalan tenaga, logistik, rantaian bekalan serta kenaikan harga barangan.
“Kita mengalu-alukan pemulihan yang diumumkan, dan mendoakan agar ia benar-benar berlaku seperti yang diumumkan, malah ini juga bermakna tindakan yang sesuai perlu diambil bagi memastikan pemulihan dapat menjadi kenyataan,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan media sejurus menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad Ke-26 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa meskipun kesan konflik masih akan dirasai dalam tempoh tertentu, sasaran pertumbuhan ekonomi negara diyakini kekal positif dan masih mampu dicapai.
Sasaran pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai walaupun dalam tempoh ini impak daripada konflik tersebut masih akan dirasai,” jelasnya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh ketidaktentuan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan terhadap rakyat dan sektor ekonomi negara.
“Dalam tempoh ini, Kerajaan Persekutuan telah mengambil segala pendekatan dan ikhtiar termasuk memperkenalkan pelbagai subsidi serta kawalan harga barangan bagi memastikan impak yang dirasai (oleh rakyat) dapat dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa industri semikonduktor yang menjadi tunjang ekonomi Pulau Pinang tidak menerima kesan ketara daripada konflik berkenaan memandangkan permintaan global terhadap produk sektor itu masih kekal tinggi.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Amerika Syarikat dan Iran telah memuktamadkan memorandum persefahaman yang sekali gus menamatkan konflik di Asia Barat, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz selepas beberapa bulan ekonomi global terjejas akibat ketidaktentuan dan gangguan perdagangan antarabangsa.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : SIEW CHIA EN