Pengumuman PKP 2.0, terima pelbagai reaksi khususnya pemain industri

GEORGE TOWN – Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri mulai 13 hingga 26 Januari 2021 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menimbulkan reaksi pelbagai pihak di media sosial.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan temasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Lantaran itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan mendapatkan pandangan umum mengenai PKP 2.0 yang akan bermula tepat jam 12:01 minit malam ini.

Pengerusi Persatuan Hartanah & Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang, TAN HUN BENG menyokong penuh keputusan Kerajaan Persekutuan sungguhpun ia memberi kesan kepada banyak pihak.

 

“Mengambil contoh sektor hartanah dan perumahan, sektor ini sekiranya terkesan akan memberi impak besar kepada bidang pekerjaan lain seperti jurutera, peguam, arkitek, pegawai bank dan badan-badan berkepentingan lain.

“Apabila melibatkan ekonomi, sudah pasti akan menjejaskan kuasa membeli pengguna iaitu pembeli mungkin mengalami kemerosotan pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

“Namun kepentingan nyawa tetap diletakkan sebagai keutamaan dan bagi pihak REHDA kita sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat dalam menangani pandemik COVID-19 di samping cuba mengukuhkan ekonomi,” ujar beliau.

 

Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Negeri Pulau Pinang, DATUK JIMMY ONG CHIN KENG pula berkata bahawa keputusan kerajaan membenarkan lima sektor ekonomi terus beroperasi sepanjang tempoh PKP adalah sesuatu yang amat melegakan.

Walau bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih menunggu pengumuman terperinci berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan bagi lima sektor yang dibenarkan beroperasi.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memenuhi permintaan pemain industri supaya membenarkan lima sektor ekonomi utama di enam negeri yang diletakkan di bawah PKP terus beroperasi dengan syarat yang ketat.

“Pengumuman ini benar-benar melegakan pihak industri kerana penutupan sepenuhnya sektor ekonomi di enam negeri ini, yang merupakan pusat dan aktiviti ekonomi utama negara akan memudaratkan sektor perniagaan dan kehidupan rakyat.

“Namun, saya sangat berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menjelaskan secara lebih terperinci mengenai SOP yang perlu dipatuhi bagi lima sektor ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, paling penting adalah kerajaan perlu memberikan penjelasan terperinci mengenai syarat rentas daerah dan negeri bagi para pekerja serta rantaian bekalan yang mengokong pengeluaran.

“Pihak MITI harus menyediakan kemudahan permohonan dan kelulusan secara dalam talian tanpa memerlukan pekerja ke balai polis daerah untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah atau negeri.

“Selain itu, MITI juga perlu nyatakan jumlah pekerja yang dibenarkan bagi setiap kenderaan untuk ke tempat kerja.

“Kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai jenis industri, perdagangan dan perkhidmatan sokongan yang dibenarkan beroperasi bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas,” ujarnya lagi.

Di samping itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak insentif dan subsidi bagi membantu pihak industri dalam tempoh PKP terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kerajaan juga harus menanggung kos untuk melakukan pemeriksaan massa ujian COVID-19 untuk semua pekerja kilang di negeri-negeri terlibat.

“Justeru, kami masih menantikan pengumuman terperinci mengenai perkara ini secepat mungkin bagi membolehkan pihak industri merancang dan menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

“Paling penting adalah proses dan prosedur operasi perlu lancar dan jelas untuk kecekapan pelaksanaan,” katanya.

 

Nada sama disuarakan Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC), DATUK FINN CHOONG KHUAT SENG yang menyambut baik pengumuman kerajaan yang membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi sepanjang tempoh PKP.

“Saya secara peribadi merasakan bahawa pengumuman PKP dengan membenarkan beberapa sektor ekonomi tertentu terus beroperasi boleh diterima kerana ia melibatkan isu antara kehidupan dan ekonomi rakyat.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu butiran terperinci mengenai SOP daripada pihak kerajaan dalam beberapa hari ini sebelum kita dapat nelihat gambaran lebih jelas mengenai kesan pelaksanaan PKP terhadap ekonomi,” jelasnya.


Bagi penulis IMRAN HILMY, pelaksanaan PKP 2.0 adalah salah satu kaedah baik untuk membendung penularan COVID-19 walaupun disifatkan sedikit terlewat apabila kes harian sudah menjangkau empat angka.

“Beberapa perkara perlu diperincikan seperti operasi tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya. Begitu juga dengan pekerja operator kilang yang mana kerja tersebut adalah mustahil sama sekali untuk dilakukan dari rumah,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

Seorang lagi pengusaha pastri sambilan, NURULWAHIDAH AB HAMID memberitahu bahawa pengisytiharan PKP 2.0 dijangka sedikit sebanyak menurunkan nilai jualan perniagaanya.

“Kita bimbang kalau radius untuk penghantaran sekiranya kurang, jadi untuk mendapat pelanggang-pelanggan yang jauh agak susah sedikit.

“Walau apa pun kita perlu tunggu dan lihat, cuma simpati saya adalah kepada peniaga-peniaga sepenuh masa yang perlu berdepan jam pernigaan yang lebih singkat dan hanya secara bungkus dibenarkan,” responsnya.

Pengusaha spa kecantikan, ELLY IBRAHIM dalam pada itu, menyatakan PKP 2.0 sememangnya akan memberi kesan kepada sektor perniagaan.

“Namun keselamatan semua untuk melawan pandemik ini lebih penting, ambil masa dan kita semua perlu bermuhasabah diri dalam menilai prestasi perniagaan masing-masing untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SUNARTI YUSOFF