Segera tuntut barang rampasan di stor sitaan MBSP – Datuk Bandar

Admin

BUKIT TAMBUN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berharap pihak berkenaan segera menuntut barang-barang rampasan atau sitaan daripada Jabatan Direktorat Penguatkuasaan.

Menurutnya, stor sitaan di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) ketika ini telah mencapai tahap kapasiti maksimum, sehingga mendorong MBPS membuka stor sitaan yang baharu dekat Simpang Empat, Seberang Perai Selatan (SPS).

“Saya harap apabila kita membuka (Stor Sitaan Barang Rampasan Taman Keruing,) dekat SPS, akan mengurangkan tekanan kapasiti maksimum di stor sitaan MBSP sedia ada di SPU dan SPT.

“Macam kita buat stor sitaan seluas 279 meter persegi di SPS, MBSP belanja RM1,344,348.97, tetapi tidak ada nilai tambah melainkan hanya menjadi tempat simpanan barang-barang rampasan dan sitaan.

“Tetapi, sekiranya di atas tapak ini dijadikan pusat kemahiran vokasional umpamanya, ia ada nilai tambah yang mana golongan daripada keluarga B40 berpeluang belajar di sini (dan) aktiviti perniagaan akan membawa kitaran ekonomi juga di sini.

“Jadi, saya sangat berharap stor sitaan di SPS ini tidak ada lagi barang rampasan dan sitaan, boleh kita (MBSP) tukar guna menjadi pusat kemahiran vokasional dan untuk menjadikan ia kenyataan memerlukan kerjasama pihak berkenaan untuk segera menuntut barang mereka yang dirampas dan disita di sini,” jelasnya kepada pemberita.

Sebelum itu, Rozali menyempurnakan acara perasmian pembukaan Stor Sitaan Direktorat Penguatkuasaan MBSP, Jalan Keruing di sini.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; barisan Ahli Majlis MBSP; dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmud.

Ketika berucap, Rozali memberitahu bahawa bagi tahun 2019 sejumlah 1,598 kes telah diadu dan sebanyak 219 buah kenderaan telah disita; berbanding tahun 2020 (1,088 kes telah diadu dan 199 kenderaan telah disita).

Dalam tempoh yang sama tahun 2019 juga, MBSP turut menyita barangan lain seperti kelengkapan penjajaan dengan rekod 206 kes, berbanding 2020 (763 kes sitaan).

Sehingga kini, Rozali memberitahu bahawa pentadbirannya membuat dwi langkah untuk menangani masalah lambakan barang sitaan, iaitu dengan cara lelongan.

“Mengikut undang-undang, kaedah lelongan ini juga hanya mengurangkan 18 peratus sahaja kapasiti di stor-stor sitaan MBSP,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pentadbirannya turut menanti pengumuman perincian prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada pihak Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Negeri, bagi tempoh 13 hingga 26 Januari 2021.

“Ada dua perkara yang saya diminta untuk membuat keputusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu aktiviti perniagaan sempena Tahun Baru Cina.

“Kita (MBPS) telah meluluskan permohonan untuk aktiviti perniagaan sempena Tahun Baru Cina kerana mereka telah membuat permohonan dua bulan lebih awal, sebelum ini.

“(Dan), yang kedua mengenai aktiviti pasar malam, pasar pagi dan pasar tani, saya juta sedang menunggu pengumuman SOP PKP daripada Menteri (untuk membuat garis panduan peringkat PBT),” jelasnya sambil memberitahu MBSP akan senantiasa menjadi ejen pemudah cara untuk golongan peniaga semasa mengharungi pandemik COVID-19.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS