Pengundi baru di Pulau Pinang meningkat 22.5 peratus selepas pendaftaran automatik Undi18

BAGAN JERMAL – Jumlah pengundi baru di negeri Pulau Pinang meningkat sebanyak 22.5 peratus selepas Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) melaksanakan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata menurut statistik SPR, jumlah daftar pemilih di Pulau Pinang bertambah sebanyak 256,734 orang menjadi 1,220,552 pengundi setakat 31 Disember 2021.

“Daripada jumlah itu, seramai 70,935 orang terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 25 tahun manakala seramai 231,069 orang adalah pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Silumasi proses pengundian yang dijalankan sempena penganjuran Kempen Undi18 Peringkat KADUN Bagan Jermal semalam.

“Ini menunjukkan bahawa berlaku pertambahan sekurang-kurangnya 200,000 pengundi belia yang akan mengundi buat kali pertama di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti,” katanya ketika merasmikan Kempen Undi18 Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Jermal dekat Gelanggang Bola Keranjang Taman Dahlia di sini pada 27 Mac 2022.

Program tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dengan kerjasama SPR Negeri Pulau Pinang melalui Akademi Pilihan Raya (APR).

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar PYDC, Eng Hui Ting; Pengarah Pilihanraya Negeri Pulau Pinang, Dr. Siti Nazariah Abdul Zalim; Timbalan Pengarah Pilihanraya Negeri Pulau Pinang, Mohd. Fuad Shuib; Ketua Program Pengurusan dan Latihan APR, Nik Aminudin Nik Sahar Shah.

Lip Chee berkata, di KADUN Bagan Jermal sahaja terdapat seramai 32,625 orang pengundi iaitu meningkat sebanyak 6,668 orang selepas pelaksanaan Undi18.

“Jumlah pengundi di Bagan Jermal menunjukkan peningkatan sebanyak 27.34 peratus berbanding hanya 25,651 pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang diadakan pada Mei 2018,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Wakil Akademi Pilihan Raya memberikan penerangan berkaitan proses dan sistem pilihan raya.

Mengulas mengenai Kempen Undi18, beliau menjelaskan bahawa program tersebut amat penting sebagai platform untuk memberikan pendedahan mengenai proses dan sistem pilihan raya di negara ini kepada golongan belia di negeri ini.

“Penganjuran Kempen Undi18 mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan belia di negeri ini sekali gus menggalakkan mereka untuk mengundi pada pilihn raya umum yang akan datang.

“Selain itu, melalui kempen ini, saya yakin golongan belia terutamanya di KADUN Bagan Jermal akan lebih memahami tanggungjawab dan peranan mereka sebagai pengundi baharu.

“Malah, saya juga percaya bahawa penglibatan lebih ramai golongan muda dalam pilihan raya akan melahirkan sudut pandangan yang lebih segar mengenai senario politik negara hari ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hui Ting berkata bahawa selain Bagan Jermal, jelajah Kempen Undi18 akan diteruskan ke beberapa lagi lokasi termasuk sekolah, kolej dan universiti.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADUN