Pengunjung kedai ‘hardware’ meningkat 20 peratus

Admin

BATU LANCANG – Pemilik kedai perkakasan atau hardware di Jalan Perak, di sini mengakui bahawa kehadiran pengunjung ke premis beliau meningkat 20 peratus berbanding hari-hari biasa.

 

Tinjauan Buletin Mutiara ke kedai milik Chuah Swee Leng mendapati kehadiran pengunjung agak ramai untuk mendapatkan barangan perkakasan bagi menggantikan alatan yang rosak di rumah.

 

“Saya rasa kebenaran untuk beroperasi selama dua hari ini sangat baik daripada tidak boleh berniaga langsung. Sekurang-kurangnya pelanggan boleh dapatkan barangan yang mereka perlukan.

 

“Kebanyakan pengunjung yang datang hari ini adalah untuk beli barangan berkaitan paip air, lampu dan tidak kurang juga yang beli cat. Mungkin masa terluang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mereka boleh gunakan untuk cat rumah.

 

“Cuma pada pendapat saya, sekiranya Kerajaan Negeri boleh lanjutkan sedikit masa operasi, barulah ekonomi bertambah baik,” ujar beliau ketika ditemui pagi ini.

 

Kesempatan sama, premis berkenaan didapati turut memasang pita keselamatan dan mewujudkan carta pergerakan bagi memastikan amalan jarak sosial yang selamat dapat dilaksanakan.

 

 

Pada 3 April lalu, Kerajan Negeri mengumumkan kebenaran operasi bagi perkhidmatan penjualan input pertanian, kedai perkakasan, penjualan makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan dan ubatan serta kedai menjual alat tukar ganti (kenderaan dan jentera).

 

Tempoh operasi adalah dua kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis bermula hari ini (6 April) dari jam 8 pagi hingga 2 petang.

 

 

Dalam pada itu, tinjauan ke premis tayar dekat Jalan Jelutong yang menyediakan perkhidmatan asas sahaja seperti menampal tayar bocor dan menukar bateri.

 

“Saya cuma panggil beberapa pekerja kerana kami hanya menjalankan perkhidmatan tampal tayar bocor dan tukar bateri sahaja.

 

“Apabila pelanggan datang pun saya cuma benarkan mereka duduk di luar bagi menjaga jarak sosial selamat,” ujar Tan Bee Ling yang mengusahakan legasi kedai ayahnya.

 

Pemilik kedai haiwan peliharaan yang hanya mahu dikenali sebagai Miss Ooi, dalam pada itu turut menyambut baik kebenaran membenarkan operasi dua kali seminggu sepanjang tempoh PKP.

 

“Ramai pelanggan yang hubungi saya untuk dapatkan makanan untuk haiwan peliharaan mereka spenjang tempoh PKP dan saya cuba bantu mereka.

 

“Itu pun cuma kepada pelanggan tetap sahaja saya buat penghantaran,” ujarnya ringkas.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALIVE CHENG

Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI