Pengurusan COVID-19: Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemuka 3 cadangan kepada Pusat

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini mengemukakan tiga cadangan susulan kepada Kerajaan Pusat untuk dilaksanakan pada tempoh sembilan hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April.

Malah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau turut akan mengutarakan perkara tersebut pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang akan datang.

Menurut beliau, tiga cadangan tersebut adalah meliputi:-

Pertama, adalah diharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah dan memudahkan prosedur ujian saringan COVID-19. Jika perlu, Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu usaha KKM dalam inisiatif berkaitan di Pulau Pinang. Ini kerana, kita perlu menggunakan kesempatan pada tempoh pelaksanaan PKP ini untuk membolehkan semua kes positif COVID-19 timbul ke permukaan dan seterusnya mengambil tindakan yang diperlukan.

Kedua, memohon Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan kawalan pergerakan di sempadan-sempadan bagi Negeri Pulau Pinang. Ini adalah bagi membolehkan Pulau Pinang memutuskan rantaian perebakan COVID-19 secara lebih berkesan. Negeri-negeri seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kuasa imigresen negeri telahpun lebih awal melaksanakan pendekatan berkaitan.

Ketiga, Kerajaan Negeri menyeru pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia untuk menetapkan dan menguatkuasakan protokol Persekitaran, Kesihatan dan Keselamatan (Environment, Health and Safety) bagi pihak industri agar semua perusahaan yang dibenarkan beroperasi diwajibkan mematuhi langkah-langkah keselamatan serta kesihatan dengan tegas tanpa pengecualian. Satu garis panduan yang lebih jelas terhadap industri penting dan industri sokongan kepada industri penting ini perlu dikemas kini dan diumumkan sebagai makluman umum.

“Adalah diharap cadangan-cadangan tersebut bakal mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Pusat,” ujarnya pada siaran langsung harian di Facebook peribadi beliau pada fasa kedua hari keenam di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa dalam tempoh 20 hari ini pelaksanaan PKP, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan berdasarkan tiga strategi utama meliputi:-

Pertama: Pengawalan wabak melalui penguatkuasaan PKP dan kerja-kerja pembasmian kuman.

Kedua: Penerangan awam melalui pelbagai kaedah dengan saluran perkongsian maklumat secara ringkas, pantas dan telus.

Ketiga: Pengurusan impak melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang.

“Saya berasa bersyukur kerana setakat ini hasil berkat usaha wira-wira barisan hadapan, kerjasama rakyat Pulau Pinang dan pelaksanaan strategi yang berkesan, Negeri kita masih dalam keadaan yang terkawal.

“Semoga kita terus berusaha membebaskan Negeri dan negara kita daripada ancaman COVID-19. Penang Lawan COVID-19!” serunya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD