Pengurusan air mampan realisasi misi Penang2030, Pulau Pinang kekal amalkan dasar tiada catuan air- KM

Admin

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa hasrat Kerajaan Negeri untuk merealisasikan misi Penang2030 adalah bergantung kepada pengurusan bekalan air yang mampan di negeri ini.

“Penang2030 merupakan wawasan berani, dan untuk merealisasikan wawasan ini adalah bergantung kepada pengurusan bekalan air yang mampan.

“Tiada pengurusan air maka tidak ada visi Penang2030 kerana bekalan air sebagai elemen penting kepada kehidupan terutamanya penduduk di negeri ini.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk terus bekerja keras dan secara bijak untuk masa depan kita bersama,” ucapnya pada majlis makan malam anjuran Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) dekat Hotel The Light di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Timbalan Pengerusi PBAHB, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II); Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAHB dan ramai lagi.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa yang menyatakan bahawa penduduk Pulau Pinang kini mengharapkan perkhidmatan pembekalan air lebih cepat dengan hasil yang lebih baik daripada kerajaan dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAHB dan PBAPP memberitahu, misi utama Kerajaan Negeri pada masa ini adalah untuk memastikan tidak berlaku catuan air di negeri ini.

Tambahnya, walaupun catuan air boleh diterima di negeri-negeri lain, namun Pulau Pinang kekal mengamalkan dasar tiada catuan air.

“PBAB ditubuhkan pada tahun 1999, justeru pada malam ini kita berada di sini untuk meraikan ulang tahun ke-19 tiada catuan air di Pulau Pinang.

“Bagi Kerajaan Negeri, tiada catuan air adalah salah satu kejayaan Pulau Pinang sejak tahun 1999 dan akan terus menjadi kejayaan kita bersama pada masa hadapan.

“Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada kakitangan PBAPP kerana memastikan bekalan air berterusan, yang memberikan manfaat kepada 1.76 juta penduduk di negeri ini,” jelas beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS