Dua jurutera IEM sertai jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh Bukit Kukus – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa dua jurutera dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) Pulau Pinang bakal dilantik sebagai ahli jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Paya Terubong.

Menurut beliau, dua wakil berkenaan ialah Pengerusi IEM Cawangan Pulau Pinang, Ir. Ting Chek Choon dan bakal pengerusi IEM Pulau Pinang yang bakal dilantik, Ir. Yau Ann Nian.

“Terima kasih kepada pihak IEM Pulau Pinang kerana menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk menghantar wakil bagi membantu jawatankuasa khas siasatan yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong.

“Jawatankuasa ini dipimpin oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin (Abdul Rahman) yang kebetulan beliau merupakan jurutera berpengalaman luas.

“Dan, kita (Kerajaan Negeri) berharap agar jawatankuasa ini dapat menyiasat dan mengenal pasti sebab-sebab serta pihak yang bertanggungjawab di atas insiden ini,” katanya selepas merasmikan pembukaan cawangan baru IEM Pulau Pinang dekat E-Gate di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Chek Choon; Ann Nian (bakal pengerusi IEM Pulau Pinang yang bakal dilantik esok) serta Timbalan Pengerusi IEM Pulau Pinang, Ir. Lee Choo Yong dan Ir. Tiu Jon Hui.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh dekat tapak projek pembinaan jalan raya berkembar Paya Terubong di Bukit Kukus yang berlaku pada 19 Oktober lalu.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan turut dianggotai Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir), seorang jurutera dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta menjemput wakil IEM Cawangan Negeri Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan permintaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum yang berhasrat untuk turut berada di dalam jawatankuasa siasatan khas berkaitan.

“Ini adalah siasatan dalaman, bukannya seperti Suruhanjaya Siasatan (RCI), dan kita (Kerajaan Negeri) akan mempertimbangkan permintaan Penang Forum,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Video : ALVIE CHENG