Pengurusan kewangan negeri diiktiraf Ketua Audit Negara

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya membuktikan amalan pengurusan kewangan yang cekap dan teratur apabila mendapat pengiktirafan daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa prinsip pengurusan kewangan secara berintegriti melayakkan Pulau Pinang diberi sijil berstatus bersih iaitu Sijil Tanpa Teguran bagi penyata kewangan tahun 2020.

“Walaupun belanjawan Kerajaan Negeri adalah berstatus defisit pada tahun 2020, namun laporan ini menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah mengutamakan kebajikan rakyat.

“Ini termasuk pelaksanaan projek-projek pembangunan negeri, tiada pengambilan hutan, ansuran hutang dibayar mengikut jadual dan tiada tuggakan, pemutihan data telah dilaksanakan dan perbelanjaan dilakukan secara akauntabiliti serta berintegriti,” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Pada 1 November 2019, Kon Yeow mengumumkan belanjawan 2020 Negeri Pulau Pinang yang memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM792.66 juta dengan anggaran defisit RM273.5 juta.

Beliau berkata, anggaran defisit tersebut adalah rendah berbanding tahun ini yang berjumlah RM395.69 juta iaitu pengurangan sebanyak 30.88 peratus.

Menurut Kon Yeow, anggaran defisit tahun 2020 berkurang kerana anggaran perbelanjaan mengurus hanya RM792.66 juta berbanding pada 2019 iaitu RM901.19 juta.

Mengulas mengenai prestasi Bajet 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan hampir 70 peratus daripada peruntukan mengurus sehingga 31 Disember lalu, sementara projek pembangunan yang dirancang juga sedang giat dilaksanakan.

“Kedua-dua belanja mengurus dan pembangunan dijangka mencapai sasaran yang ditetapkan pada hujung tahun ini,” ujarnya sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN & AHMAD ADIL MUHAMAD