Unjuran defisit demi pulih ekonomi negeri, terus program kebajikan rakyat pasca COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Bajet 2020 Pulau Pinang dengan unjuran defisit sebanyak RM449.80 juta adalah demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat beroperasi secara efisien serta terus melaksanakan program-program pemulihan ekonomi negeri mengikut keperluan rakyat teramai terutama pasca COVID-19.

Demikian penjelasan Ketua Menteri kepada Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Dato’ Mohamad Yusoff Mohd. Noor dalam sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-4 di sini pada 3 Disember 2021.

Menurut Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi, unjuran defisit itu tidak dapat dielakkan lagi memandangkan anggaran hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2022 yang terhad iaitu kira-kira RM485.42 juta berbanding peruntukan mengurus yang diperlukan pada tahun hadapan.

“Kerajaan Negeri akur terpaksa menampung defisit tahun 2022 ini daripada Hasil Simpanan Terkumpul Negeri (Akaun Hasil Disatukan) yang berbaki sebanyak RM887.88 juta setakat akhir tahun 2020.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri berjanji akan memastikan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dilakukan melalui prinsip ‘Cekap, Akauntabiliti dan Telus’ (CAT) dan mengamalkan langkah-langkah berbelanja secara berhemah untuk meminimumkan defisit ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Pun begitu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan mencari alternatif-alternatif baru untuk meningkatkan hasil negeri setelah keadaan ekonomi negeri kembali pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

Isnin lepas, Mohamad Yusoff yang juga ADUN Sungai Dua meminta Kon Yeow menjelaskan sebab musabab Bajet 2022 Pulau Pinang diunjurkan defisit agak tinggi iaitu RM449.80 juta, hampir menyamai RM485.42 juta anggaran hasil tahunan kewangan sama.

Beliau turut mensyor pentadbiran Kon Yeow supaya tidak meningkatkan hasil negeri dengan mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi hatta membebankan rakyat kebanyakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD/ALISSALA THIAN