Pengusaha salun kecantikan hargai bantuan Kerajaan Negeri

PENGUSAHA salun kecantikan dan spa serta pusat refleksologi dan bekam antara yang menerima manfaat daripada Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.0 diumumkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Pakej berjumlah RM20 juta yang diperuntukkan itu adalah untuk membantu kumpulan paling terkesan dek penularan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak 13 Januari lalu.

Justeru, Buletin Mutiara mendekati beberapa pengusaha salun kecantikan dan spa serta pusat rawatan bekam di sekitar Seberang Perai untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai pakej bantuan terbaru yang diumumkan tersebut.

Hanan MediaSpa salun kecantikan milik Wahida Anuar terpaksa ditutup kerana PKP.

Bagi NUR FAZANA MOHD. JAMIL, 24, pekerja di pusat terapi bekam dekat Seberang Jaya memberitahu bahawa dia gembira dengan inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membantu peniaga terjejas dalam tempoh PKP 2.0.

“Bayaran one-off sebanyak RM500 sudah pasti memberi manfaat kepada majikan saya untuk meneruskan operasi perniagaan seperti untuk membayar bil elektrik dan lain-lain.

“Pada masa sama, saya juga berharap agar lebih banyak bantuan kewangan dapat disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu peniaga dan pekerja seperti kami yang tidak dapat meneruskan operasi dalam tempoh ini,” katanya ketika dihubungi Buletin Mutiara.

Pemilik spa, WAHIDA ANUAR, 27, pula meluahkan rasa syukur kerana turut layak menerima bantuan kewangan yang sangat diperlukan ketika ini daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan beliau berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat membenarkan spa beroperasi semula.

“Pada masa ini, saya perlu mengarahkan 15 orang pekerja saya supaya bercuti tanpa gaji untuk mengurangkan kos operasi kerana kami tidak dibenarkan membuka perniagaan.

“Keadaan ini telah memberikan tekanan kepada kewangan kami sekaligus menyebabkan saya tiada ada pilihan lain selain mengarahkan mereka supaya bercuti tanpa gaji atau saya terpaksa mengambil risiko menutup perniagaan buat selamanya.

Pengusaha pusat rawatan bekam juga turut berdepan nasib yang sama.

“Oleh itu, saya sangat berharap agar kerajaan Pusat dapat memberi perhatian terhadap nasib kami dengan membenarkan perniagaan beroperasi semula.

“Selagi dibenarkan beroperasi, kami tidak keberatan untuk mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata Wahida yang memulakan perniagaan salun kecantikan sejak 2018.

Sementara itu, NOR WAHIDA MOHD. SYUKUR berkata bahawa bantuan wang tunai RM500 secara one-off daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung.

Beliau berkata, perniagaan yang diusahakan sejak sekian lama kini terjejas akibat penularan COVID-19 yang membawa kepada pelaksanaan PKP.

“Walaupun PKP dilaksanakan, tetapi saya tetap perlu membayar sewa kedai sebanyak RM2,000 sebulan. Jadi, bantuan ini dapatlah mengurangkan sedikit beban saya.

“Wang ini mungkin saya gunakan untuk membayar bil elektrik dan lain-lain yang diperlukan,” ujarnya yang merupakan salah seorang pengasas Bekam Pusrapi Jaya dekat Permatang Pauh.

Tambahnya lagi, sejak pelaksanaan PKP 2.0, perniagaannya kembali terjejas teruk memandangkan sebahagian besar pelanggan adalah datang dari luar negeri.

“Disebabkan kami juga menjual produk kesihatan maka kami juga melakukan jualan secara dalam talian bagi mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR